23 Mac 2015 12:18 AM
Saadi JAMAL (kanan) memegang seekor anak singa di luar kediamannya di kem pelarian di Rafah di selatan Genting Gaza, pada 19 Mac lalu. AFP
GAZA CITY 22 MAC - Sebuah keluarga yang tinggal di kem pelarian di Rafah, mengambil keputusan menjadikan dua ekor anak singa sebagai haiwan peliharaan mereka.
Portal Arab News yang memetik laporan AFP menyatakan, haiwan pemangsa itu dibeli kakitangan Pihak Berkuasa Palestin, Saadi Jamal, selepas zoo yang menempatkan singa tersebut tidak mampu lagi membelanya.
Kehadiran dua ekor singa itu ternyata menghiburkan empat anak Saadi dan jiran-jirannya yang tinggal di kem pelarian itu.
“Sepanjang tempoh 10 minggu lalu, anak singa itu tinggal di dalam rumah seperti ahli keluarga kami sendiri.
“Kanak-kanak di kem pelarian ini juga gemar bermain bersama anak singa itu sepanjang hari,’’ katanya.
Bagaimanapun, kehadiran singa itu juga memerlukan Saadi berbelanja lebih.
Haiwan itu makan hampir sekilogram daging setiap hari, sesuatu yang agak mustahil dilakukan di wilayah bergolak ini selepas harga barang meningkat ekoran serangan Israel di Genting Gaza, tahun lalu.
Selepas anak singa itu berumur lima bulan, Saadi merancang untuk menjana wang dengan memajak singa itu kepada taman tema, pusat peranginan, dan restoran.
Saadi pernah menerima tawaran sebanyak AS$9,000 oleh pihak yang ingin membeli kedua-dua anak singa itu, namun dia enggan mendedahkan jumlah yang dibayarnya bagi mendapatkan haiwan tersebut.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/keluarga-palestin-8232-bela-anak-singa-1.72477#sthash.rvWCtM7v.dpuf
No comments:
Post a Comment