Wednesday, 25 February 2015

Juri AS perintah Palestin bayar pampasan lebih AS$218 juta





WASHINGTON – Sebuah panel juri di Amerika Syarikat (AS) mendapati Pihak Berkuasa Palestin (PA) bertanggungjawab terhadap enam serangan di Baitulmuqaddis yang menyebabkan beberapa warga AS terbunuh dan cedera.

Panel juri berkenaan memerintahkan pampasan berjumlah AS$218 juta (RM784.2 juta) dibayar kepada keluarga para mangsa.

Enam serangan itu di Universiti Hebrew, Jalan Jaffa, bas nombor 19, Jalan King George dan French Hills dan sebuah penempatan Yahudi di Baitulmuqaddis Timur.

Di bawah akta antipengganas AS, gantirugi yang diputuskan akan meningkat tiga kali ganda sekali gus bermakna PA dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) perlu membayar gantirugi lebih AS$650 juta (RM2.3 bi­lion).

Israel menyambut baik keputusan tersebut sebagai kemenangan moral tetapi pihak Palestin mendakwa saman berkenaan bermotifkan politik dan akan mengemukakan rayuan.

Panel juri itu membuat keputusan selepas bersidang selama dua setengah hari sekali gus mengakhiri perbicaraan yang diketuai Hakim Daerah AS, George Daniels di New York selama lebih lima minggu.

Enam serangan itu menyebabkan 33 orang terbunuh, manakala lebih 390 yang lain cedera antara Januari 2002 dan Januari 2004.

Semua serangan melibatkan pengeboman dan tembakan itu dilakukan oleh Hamas dan Briged Al-Aqsa yang disenarai hitam sebagai organisasi pengganas oleh AS.

Setiap keluarga mangsa yang terjejas akan mene­rima antara AS$1 juta (RM3.5 juta) hingga AS$25 juta (RM89.9 juta) susulan keputusan tersebut. – AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0225&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3SlgJhESc
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment