Benjamin Netanyahu |
TEL AVIV 27 Feb. – Pendakwa Raya Israel, Yehuda Weinstein mengarahkan satu siasatan awal diadakan berhubung dakwaan salah laku menggunakan dana awam di kediaman rasmi dan peribadi Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.
Beliau bagaimanapun berkata, Netanyahu bukanlah suspek dalam dakwaan tersebut.
Tindakan berkenaan diambil selepas laporan oleh agensi Kawalan Negara berhubung perbelanjaan ‘melampau’ di kediaman berkenaan, namun siasatan tersebut hanya akan bermula selepas Pilihan Raya Umum Israel pada 17 Mac ini.
Weinstein berkata, semua tindakan perlu dilaksanakan dengan berjaga-jaga.
“Bahan-bahan telah dikumpul ketika ini, namun tiada bukti yang menyabitkan penglibatan Netanyahu,’’ katanya.
Menurut Pejabat Pendakwa Raya, penemuan agensi pemantau itu berhubung pengurusan kediaman rasmi di Baitulmaqdis dan rumah peribadi milik Netanyahu di Ceasarea, hanya meningkatkan sedikit keraguan.
“Bagaimanapun, Pejabat Pendakwa Raya percaya, kes tersebut perlu disiasat dan hasilnya akan memutuskan sama ada satu siasatan jenayah akan dilancarkan,’’ jelas pejabat tersebut.
Dakwaan salah laku di kediaman Netanyahu itu, turut melibatkan penyalahgunaan dana oleh isterinya, Sara selain pembelian perabot di halaman rumahnya di Caesarea. – AFP
No comments:
Post a Comment