Penduduk Palestin di kawasan perumahan Shejaiya, timur Gaza City menunaikan solat Jumaat berhampiran kediaman mereka yang musnah akibat pengeboman tentera Israel semasa perang 50 hari, tahun lalu pada 23 Januari lalu. – REUTERS
GAZA 27 Jan. – Agensi Kerja-Kerja dan Pemulihan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) terpaksa menghentikan usaha membaik pulih rumah-rumah di wilayah ini yang terjejas teruk akibat serangan dengan Israel tahun lalu selepas gagal menerima sumbangan daripada penderma.
“Agensi ini telah kehabisan semua dana bagi menyokong usaha pemulihan dan subsidi sewa.
“Sejumlah AS$5.4 bilion (RM19.4 bilion) bantuan dijanjikan semasa persidangan di Kaherah, Mesir Oktober tahun lalu, namun hampir tiada daripada wang itu sampai ke Gaza. Keadaan ini amat menyedihkan dan tidak boleh diterima,’’ kata UNRWA dalam satu kenyataan, hari ini.
UNRWA berkata, lebih 96,000 rumah pelarian Palestin musnah atau rosak teruk akibat serangan Israel.
Kata agensi itu, pemotongan subsidi kepada pelarian yang kini menyewa di kediaman alternatif boleh mengakibatkan sebahagian besar penduduk kembali ke sekolah-sekolah PBB dan pusat sementara yang menempatkan 12,000 penduduk.
“UNRWA di Gaza setakat ini telah menyediakan lebih AS$77 juta (RM277 juta) kepada 66,000 keluarga pelarian Palestin bagi membaik pulih rumah mereka atau mencari kediaman alternatif sementara.
“Jumlah itu merupakan satu pencapaian besar, namun masih tidak mencukupi. Kami sedang bercakap tentang ribuan keluarga yang menderita sepanjang musim sejuk ini dengan perlindungan yang tidak mencukupi,’’ katanya.
Katanya, kebanyakan penduduk secara asasnya tidur di sebalik sisa runtuhan rumah, manakala kanak-kanak mati akibat hipotermia.
Dua bayi meninggal dunia di Gaza bulan lalu ketika berpuluh-puluh rumah dinaiki air semasa ribut kuat yang membawa hujan dan angin kencang. – AFP
No comments:
Post a Comment