Friday 9 January 2015

Palestin sertai ICC 1 April


PBB: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon berkata, Palestin akan menyertai Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada 1 April ini, seterusnya membolehkannya mengemukakan tuntutan jenayah perang terhadap Israel.
Dokumen meratifikasikan Statut Rom bagi menyertai mahkamah itu diserahkan Palestin Jumaat lalu dalam langkah rasmi terakhir bagi menerima bidang kuasa tribunal jenayah perang tetap dunia.
Menurut PBB, Ban sendiri akan menyemak semua dokumen berkenaan.
Dalam kenyataannya di laman web PBB, Ban mengumumkan penerimaan dokumen itu.
“Statut berkenaan akan berkuat kuasa bagi Negara Palestin pada 1 April 2015 sejajar dengan prosedur mahkamah,” katanya.
Menurutnya, dia bertindak dalam kapasitinya sebagai pemegang amanah dokumen ratifikasi berkenaan.
Presiden Palestin Mahmoud Abbas menandatangani dokumen untuk menyertai ICC sehari selepas Majlis Keselamatan PBB menolak resolusi bagi menetapkan tarikh akhir penjajahan Israel di bumi Palestin 30 Disember lalu.
Penyertaan ke ICC adalah sebahagian strategi Palestin untuk meletakkan tekanan supaya Israel berundur dari wilayahnya, seterusnya mengiktiraf negara Palestin.
Mahmoud didesak mengambil tindakan lebih tegas terhadap Israel selepas perang selama 50 hari antara rejim Zionis dengan pejuang Hamas di Gaza pada musim panas lalu selain ketegangan berhubung Baitulmaqdis dan kegagalan rundingan damai yang diselia Amerika Syarikat.
Keputusan Palestin menyertai ICC membangkitkan kemarahan Israel yang bertindak membekukan lebih AS$127 juta (RM454 juta) dalam hasil cukai yang dikutip bagi pihak Palestin. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 January 2015 @ 5:02 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/22296#sthash.UBLcRxAE.dpuf

No comments:

Post a Comment