Tuesday 16 December 2014

Hamas pamer kekuatan tentera


16 Disember 2014 12:52 AM




GAZA CITY 15 Dis. – Pergerakan Hamas semalam mempamerkan kekuatan pasukan tenteranya dalam satu perarakan melibatkan lebih 2,000 anggota pejuang sempena ulang tahun ke-27 penubuhannya di Gaza City.
Perarakan terbesar seumpamanya sejak serangan berdarah rejim Zionis pada bulan Ogos lalu itu turut memaparkan pelbagai jenis senjata pergerakan berkenaan antaranya pesawat tanpa juruterbang (drone) dan roket.
Dalam perarakan tersebut, pemimpin Hamas, Khalil al-Hayya mengulangi ikrar untuk melakukan apa sahaja bagi memerangi dan memusnahkan Israel.
“Israel akan ditumpaskan dan diusir keluar dari Palestin oleh Briged al-Qassam,” katanya seperti laporan Mail Online.
Sepanjang perarakan itu, beberapa buah trak membawa tiga butir roket jarak jauh, pelancar roket dan drone melalui jalan-jalan dibanjiri ribuan penduduk Palestin yang hadir menyaksikan acara berkenaan.
Perarakan itu turut disertai anggota pejuang Briged al-Qassam bertopeng yang memeriahkan lagi majlis.
Penduduk Gaza yang hadir ke perarakan turut mengibarkan bendera briged itu selain berpakaian sama seperti anggota pejuang Briged al-Qassam bagi memberi sokongan kepada pasukan keselamatan tersebut yang mempertahankan Palestin dalam serangan Israel.
Jurucakap Briged al-Qassam, Abu Ubaida berkata, satu lagi konfrontasi bersama Israel mungkin akan berlaku kecuali berpuluh-puluh ribu rumah yang musnah akibat serangan di Genting Gaza dibina semula dalam masa terdekat.
“Kami tidak akan menerima sebarang desakan atau gesaan kecuali mereka bersedia untuk membina semula apa yang telah dimusnahkan oleh rejim Zionis,” jelas Abu Ubaidi.
Sebelum ini, Palestin sering menyatakan rasa kecewa ke atas kerja-kerja pembinaan yang berjalan perlahan susulan sekatan yang dikenakan ke atas bahan binaan untuk ke Gaza selepas pihak antarabangsa menyalurkan dana bantuan sebanyak AS$5 bilion (RM17.48 bilion) pada Oktober lalu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/hamas-pamer-kekuatan-tentera-1.36895#sthash.UeiDnoqO.dpuf

No comments:

Post a Comment