Tuesday 16 December 2014

Mahkamah AS pertimbang semula kes filem anti-Islam


16 Disember 2014 12:52 AM


Gambar fail bertarikh 12 September 2012 menunjukkan penduduk Palestin mengadakan bantahan terhadap penyiaran filem Innocence of Muslims yang secara terang-terangan menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW. – AP

LOS ANGELES 15 Dis. – Sebuah mahkamah rayuan persekutuan Amerika Syarikat (AS) akan mempertimbangkan semula keputusan yang mengarahkan laman perkongsian video, YouTube memadamkan satu klip video anti-Islam yang mencetuskan keganasan berdarah di Asia Barat pada 2012.
Seramai 11 panel hakim Mahkamah Rayuan AS Kesembilan di Pasadena, hari ini akan mendengar hujah daripada syarikat laman carian enjin, Google yang memiliki YouTube berhubung kes filem Innocence of Muslims yang menghina Nabi Muhammad SAW.
Februari lalu, satu panel hakim mengarahkan filem berkenaan dipadamkan daripada YouTube selepas pelakon wanita klip itu, Cindy Lee Garcia mendakwa dia sepatutnya berlakon dalam filem Desert Warrior dengan bayaran AS$500 (RM1,700) yang tidak mempu­nyai kaitan dengan isu agama.
Tetapi Cindy yang mendakwa mempu­nyai hak cipta terhadap filem berkenaan berkata, dia berlakon dalam penggambaran filem yang berbeza dan suaranya turut digantikan dengan suara lain yang secara jelas menghina Nabi Muhammad SAW.
Beberapa pelakon yang terlibat dalam filem itu, termasuk Cindy menerima ugutan bunuh selepas klip tersebut disiarkan dalam YouTube.
Google mendakwa hak cipta filem itu dimiliki oleh pembuat filem, Mark Basseley Youssef yang menulis skrip, menguruskan produksi dan menggantikan ­dialog Cindy.
Malah sebelum mahkamah mengeluarkan arahan ber­kenaan, Google menolak gesaan Presiden AS, Barack Obama dan pemimpin dunia yang lain agar mengeluarkan video itu daripada YouTube, dengan alasan tindakan tersebut akan melanggari hak kebebasan bersuara.
Jika keputusan mahkamah kekal, YouTube dan syarikat Internet yang lain akan menerima lebih banyak notis daripada pemegang watak kecil dalam filem lain yang mahu klip video mereka dipadamkan. – AP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/mahkamah-as-pertimbang-semula-kes-filem-anti-islam-1.36885#sthash.jTR5Qz2J.dpuf

No comments:

Post a Comment