Anggota Parlimen EU menyertai sesi pengundian di Strasbourg, timur Perancis, kelmarin.
Anggota Parlimen EU menyertai sesi pengundian di Strasbourg, timur Perancis, kelmarin.
PARIS - PERANCIS. Parlimen Eropah sebulat suara menerima pakai resolusi yang mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara dengan memperoleh 498 undi sokongan manakala 88 lagi menolak ketetapan tersebut.

"Kami menyokong pengiktirafan prinsip kenegaraan Palestin dan penyelesaian dua negara mengikut perjanjian garis sempadan 1967. Bagaimanapun, rundingan damai bersama Israel perlu disambung semula bagi merealisasikan hasrat tersebut," menurut kandungan resolusi itu.

Difahamkan, keputusan simbolik itu dibuat selepas perkara tersebut mendapat sokongan menggalakkan daripada penggubal undang-undang anggota Kesatuan Eropah (EU).

Sebelum ini, beberapa negara anggota EU telah mengambil langkah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara dan Sweden menjadi negara pertama yang membuat pengiktirafan itu secara rasmi pada Oktober lalu.

Dalam perkembangan lain, Palestin telah membentangkan draf resolusi kepada Majlis Keselamatan PBB bagi mendesak Israel menghentikan pencerobohan ke atas wilayah diduduki mereka, menurut Al-Arabiya.

Resolusi itu yang mendapat sokongan negara rantau Arab turut menetapkan November 2016 sebagai tarikh akhir kepada rejim Zionis untuk berundur dari Palestin.