Friday 19 December 2014

Draf selamatkan Palestin diserahkan kepada PBB


PENDUDUK Palestin kelihatan berjalan di Beit Hanun di bandar Gaza yang musnah akibat serangan Israel pada Ogos lalu.


PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB) – Jordan secara rasmi menyerahkan satu draf resolusi kepada Majlis Keselamatan PBB meminta perdamaian antara Israel dan Palestin diadakan dalam tempoh setahun dan rejim Zionis menamatkan pendudukannya di semua wilayah Palestin menjelang 2017.
Draf resolusi itu secara rasmi telah diserahkan kepada 15 anggota Majlis Keselamatan untuk diundi selepas 24 jam daripada tempoh penyerahan. Namun, bukan semua draf resolusi diundi dengan sebahagian draf yang diterima badan berkenaan tidak pernah mencapai status tersebut.
Draf berkenaan ditulis oleh pihak Palestin.
Mengulas perkembangan itu, beberapa diplomat berkata, rundingan mengenainya mungkin akan mengambil masa antara beberapa hari atau berminggu-minggu. Namun, utusan Jordan ke PBB, Dina Kawar memberitahu, beliau berharap Majlis Keselamatan akan mencapai keputusan sebulat suara mengenainya.
Sebanyak sembilan undi diperlukan untuk resolusi itu diluluskan sekali gus memaksa Amerika Syarikat menggunakan kuasa veto jika ingin membatalkannya.
Selain Palestin, Perancis, Britain dan Jerman juga menulis draf resolusi yang mana menurut Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius mencadangkan agar rundingan damai Palestin-Israel dimuktamadkan dalam tempoh dua tahun.
Palestin mahukan negara sendiri di wilayah Tebing Barat yang diduduki Israel dan Genting Gaza dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.
Semua wilayah berkenaan ditakluki Israel dalam perang pada tahun 1967. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1219&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3MJr1xYxS 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment