Penduduk Palestin di bawah umur 40 tahun dilarang memasuki al-Aqsa.
Penduduk Palestin di bawah umur 40 tahun dilarang memasuki al-Aqsa.
DOHA - QATAR. Kesatuan Ulama Islam Sedunia (IUMS) menggesa umat Islam supaya bersatu melindungi dan mempertahankan Masjid al-Aqsa.

Pengerusinya, Yusuf al-Qaradawi turut menyelar tindakan pihak berkuasa Israel yang mengenakan sekatan lebih ketat termasuk menutup masjid itu kepada orang Islam.

"Segala bentuk pencabulan dan serangan yang dilakukan ke atas al-Aqsa dianggap sebagai satu perbuatan jenayah," tegasnya.

Yusuf turut berasa kesal kerana masyarakat antarabangsa dan negara Arab terus membisu walaupun situasi semakin meruncing di al-Aqsa serta Baitulmaqdis ketika ini.

Sementara itu, pihak berkuasa Israel dilaporkan masih meneruskan sekatan ke atas penduduk Palestin yang mahu memasuki ke al-Aqsa.

Menurut media tempatan, kebanyakan pintu utama ditutup bagi menghalang golongan lelaki di bawah umur 40 tahun daripada memasuki masjid berkenaan.

Dalam perkembangan lain, dipetik dari Agensi, jurucakap Kementerian Pertahanan Israel memaklumkan bahawa laluan sempadan Erez dan Kerem Shalom yang menghubungkan Genting Gaza telah dibuka semula selepas ia ditutup, Ahad lalu.