Melalui satu surat yang ditandatangani kesemua bekas anggota keselamatan itu, mereka meminta Netanyahu untuk memulakan langkah berani dan berdamai dengan Palestin serta beberapa negara Arab lain.
Portal berita Ynet yang memetik kandungan surat itu melaporkan, komander tentera simpanan Israel (IDF) dan pegawai polis yang telah bersara, mengakui menanggung penderitaan yang berat kerana mengikuti kempen ketenteraan Israel ke atas Palestin.
“Kami berjuang dengan berani untuk Israel dengan harapan anak kami dapat hidup dengan aman, tetapi realitinya, anak kami terpaksa dihantar ke medan perang.
“Usaha ini bukan soal berhaluan kiri atau kanan. Kita mempunyai pilihan lain untuk menyelesaikan konflik yang tidak semestinya bergantung kepada rundingan dua hala dengan Palestin yang berulang kali gagal.
“Kami berharap Netanyahu menunjukkan keberanian untuk berdamai agar mendapat sokongan daripada kami,” jelas kandungan surat itu yang merupakan idea Mejar Jeneral Amnon Reshef, bekas komander unit berperisai tentera Israel.
Ynet melaporkan, Reshef telah muak dan penat dengan peperangan sejak beberapa tahun lalu berbanding dengan usaha damai negara Arab yang dilihat lebih berkesan, merujuk kepada Usul Perdamaian Arab yang dikemukakan oleh Arab Saudi pada 2012.
Malah pada minggu lepas, Peres turut mempersoalkan maruah Israel kerana hanya membiarkan Arab Saudi tampil dengan usaha damai bagi menyelesaikan konflik di Asia Barat itu.
Sementara itu, usaha damai antara Israel dan Palestin semakin kabur apabila kerajaan Netanyahu meluluskan pembinaan 500 rumah baharu di kawasan penduduk Palestin di timur Baitulmaqdis, sekali gus bakal mengundang kritikan sekutu kuatnya, Amerika Syarikat (AS) dan masyarakat antarabangsa.
Minggu lalu, rejim Zionis turut mengarahkan pembinaan kira-kira 600 buah unit kediaman di lokasi yang sama di Ramat Shlomo dan 400 buah lagi di Har Homa. – AFP/REUTERS