Selain itu, Netanyahu turut menggesa anggota Parlimen Israel mengawal kemarahan berhubung isu perebutan Masjid Al-Aqsa yang menjadi punca ketegangan antara penduduk Palestin dan puak Yahudi sejak beberapa minggu lalu.
Dalam kenyataannya, Netanyahu juga mahu semua anggota Knesset (Parlimen Israel) meredakan ketegangan dan mengambil tanggungjawab bagi mengelakkan berlaku pergolakan yang lebih besar.
Kenyataan Netanyahu itu dilihat sebagai cubaannya untuk meredakan kebimbangan penduduk Palestin terhadap rancangan rejim Zionis Israel yang mahu menukar status quo Masjid Al-Aqsa, yang merupakan tapak ketika paling suci bagi umat Islam.
Di bawah peraturan yang ditetapkan untuk memasuki Masjid Al-Aqsa, yang ditadbir oleh pihak berkuasa Jordan, penganut Yahudi dibenarkan masuk ke kawasan suci itu tetapi dilarang untuk bersembahyang.
Bagaimanapun, sebaik-baik Netanyahu menyentuh isu tersebut, ketua kumpulan Yahudi yang berkempen mahu menukar status Masjid Al-Aqsa, Moshe Feiglin, yang juga anggota Parlimen daripada Parti Likud, mengeluarkan kenyataan berbaur provokasi dalam laman sosial Twitter untuk menyatakan hasrat beliau mengunjungi kawasan suci berkenaan, hari ini.
Kemelut di Baitulmaqdis yang semakin meningkat setiap hari turut mengundang kebimbangan Israel tentang kebangkitan (intifada) terbaharu penduduk Palestin selepas hak mereka sering digugat oleh pihak keselamatan rejim Zionis untuk memasuki Masjid Al-Aqsa.
Pertempuran antara penduduk Palestin dan pihak keselamatan Israel di Baitulmaqdis Timur dan kawasan sekitar Masjid Al-Aqsa sejak kebelakangan ini secara jelas menunjukkan kerapuhan status quo yang ditetapkan sebelum ini, ekoran provokasi terbaharu rejim Zionis Israel. – REUTERS