Sempadan Erez hanya dibuka untuk bantuan kemanusiaan kecemasan ke Genting Gaza.
Sempadan Erez hanya dibuka untuk bantuan kemanusiaan kecemasan ke Genting Gaza.
TEL AVIV - ISRAEL. Israel mengambil langkah drastik menutup dua laluan sempadan yang menghubungkan Genting Gaza dipercayai sebagai tindak balas terhadap roket yang didakwa telah dibedil ke selatan negara itu.

Akhbar Haaretz melaporkan penutupan itu berkuat kuasa bermula semalam sehingga notis lanjut dikeluarkan dan hanya bantuan kemanusiaan kecemasan dibenarkan memasuki Genting Gaza melalui sempadan Erez.

Langkah tersebut bakal memberi kesan besar kepada penduduk di wilayah Gaza yang menggunakan lintasan Kerem Shalom dan Erez sebagai laluan utama mereka.

Difahamkan, tiga lagi lintasan sempadan masih tidak beroperasi dan laluan sempadan Rafah terus ditutup sehingga kini.

Dalam perkembangan lain, Mesir didakwa akan meneruskan rancangan mereka untuk mewujudkan zon penampan di sempadan Genting Gaza selepas kerajaan mengambil langkah menutup sempadan Rafah susulan daripada insiden keganasan di Semenanjung Sinai.

Tindakan itu memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Gaza selain menjejaskan usaha pembangunan semula wilayah terbabit yang musnah teruk akibat tindakan ketenteraan Israel pada 8 Julai lalu.