Seorang penduduk Palestin membakar tayar semasa mengadakan tunjuk perasaan di kem pelarian Palestin di Shuafat , Baitulmaqdis timur, kelmarin. – AFP
NEW YORK 6 Nov. – Palestin mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan bagi menghentikan keganasan dan pertempuran di Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis timur.
Palestin juga memberi amaran tercetusnya keganasan agama jika tiada tindakan diambil.
Wakil Palestin ke PBB, Riyad Mansour berkata, badan keselamatan dunia itu perlu “membuat pendirian untuk mendesak rejim Zionis Israel menghentikan semua aktiviti dan dasar yang bersifat provokasi dan menghasut.
Riyad menyalahkan `kumpulan pelampau’ yang memasuki masjid itu tanpa membuka kasut sebagai punca kejadian keganasan terbaharu itu.
“Mereka cuba mencetuskan konfrontasi agama,’’ katanya selepas bertemu Duta Australia, Gary Quinlan yang mempengerusikan sidang Majlis Keselamatan pada bulan ini.
Desakan supaya Majlis Keselamatan mengeluarkan satu kentetapan itu dibuat, selepas tercetus pertempuran terbaharu awal pagi semalam antara polis Israel dan penduduk Palestin di Masjid Al-Aqsa dan insiden sebuah kereta yang dipandu penduduk Palestin melanggar sekumpulan pejalan kaki mengakitkan seorang anggota polis sempadan maut.
Terdahulu, Jordan yang mengurus dan mentadbir Masjid Al-Aqsa, memanggil pulang Dutanya ke Israel manakala Menteri Luarnya, Nasser Judeh menggesa Israel menghormati kesucian masjid tersebut.
Duta Jordan ke Majlis Keselamatan, Dina Kawar berkata, negara itu menganggap tindakan Israel itu sebagai melampau dan memburukkan keadaan,
“Jordan akan mengambil tindakan dan pendekatan untuk menghentikan serangan Israel ke atas Masjid Al-Aqsa,’’ katanya dalam sepucuk surat kepada badan keselamatan dunia itu. – AFP
No comments:
Post a Comment