Penduduk Palestin membersihkan sebahagian kawasan al-Aqsa yang menjadi sasaran keganasan terbaharu, kelmarin.
Penduduk Palestin membersihkan sebahagian kawasan al-Aqsa yang menjadi sasaran keganasan terbaharu, kelmarin.
AMMAN - JORDAN. Jordan mengumumkan bahawa mereka bersedia untuk bertindak bagi menghentikan serangan Israel di Masjid al-Aqsa.

Kelmarin, Duta Jordan ke PBB, Dina Kawar turut menghantar surat kepada Presiden Majlis Keselamatan PBB dan mengutuk tindakan provokasi rejim Zionis ke atas masjid ketiga paling suci dalam Islam tersebut.

"Ia disifatkan sebagai satu perlanggaran yang serius dan tidak pernah berlaku sebelum ini," menurut Kawar. 

Difahamkan, Raja Jordan dinamakan sebagai penjaga al-Aqsa susulan daripada Perang Enam Hari pada 1967 yang telah mengubah landskap Baitulmaqdis.

Dalam perkembangan berkaitan, ratusan penduduk Palestin dilaporkan membuat rantaian manusia di Ramallah, Tebing Barat sebagai membantah insiden pencerobohan ke atas al-Aqsa yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.

Pegawai kanan Hamas, Hossein Abu Kweik turut mengecam tindakan keganasan yang dilakukan ke atas penduduk Palestin berikutan situasi semakin meruncing di kota suci tersebut, laporan dipetik dari Press TV.