LOS ANGELES 12 Nov. – Bekas peserta rancangan realiti televisyen The Apprentice dan kolumnis akhbar The Sun, Katie Hopkins memuat naik beberapa status berbaur anti-Islam di laman sosial Twitternya, antaranya menggelarkan penduduk Palestin sebagai ‘tikus pengotor’.
Tindakannya itu mendatangkan kritikan ramai pihak yang menggesa dia ditahan atas kesalahan menghasut kebencian kaum.
Laman web mirror.co.uk melaporkan, Hopkins memuat naik status berkenaan selepas dia menerima berita tentang kejadian dua penduduk Israel ditikam oleh seorang lelaki Arab di Tel Aviv.
Dalam status di Twitternya Hopkins berkata: ‘Penduduk Palestin sibuk menikam penduduk Israel. Satu tindakan bodoh. Tikus pengotor sedang menggali lubang di Israel. Tiba masanya untuk mulakan semula kempen mengebom’.
Ibu kepada tiga orang anak itu turut memuat naik beberapa status anti-Islam lain di Twitternya yang mempunyai pengikut seramai 244,000 orang antaranya: ‘Bapa memukul anaknya dengan seterika. Namun dia seorang Islam yang baik, bersembahyang di dalam penjara dan berada di masjid. Itu semua adalah hari-hari yang indah.’
Pengguna laman sosial Twitter yang kurang senang dengan tindakan Hopkins itu menggesa perbuatan tersebut dilaporkan kepada polis atas kesalahan menghasut.
“Tidak kira apa pendirian anda tentang krisis yang berlaku di antara Israel dan Palestin, Hopkins harus dikenakan tindakan kerana menghasut,” kata seorang pengguna Twitter.
No comments:
Post a Comment