Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia PBB (UNHCR), Nigel Rodley mengecam tindakan Tel Aviv yang sering memusnahkan rumah penduduk Palesin, meluaskan kawasan penempatan haram Yahudi dan mengehadkan kemudahan air kepada peladang Palestin.
Jelasnya, pembinaan bangunan kediaman secara haram oleh Israel untuk menempatkan pendatang haram Yahudi telah mencetuskan banyak masalah termasuk pencabulan hak asasi dan kebebasan penduduk Palestin, katanya dalam satu kenyataan.
Seorang lagi anggota jawatankuasa UNHCR, Cornelis Flinterman berkata, penduduk Palestin juga sering ditindas dan dizalimi oleh pendatang haram Yahudi yang tinggal di penempatan haram yang baharu dibuka.
“Penduduk Palestin dilayan seperti orang asing di tanah air mereka sendiri,” katanya, sambil menambah kata, pembinaan penempatan haram baharu di wilayah Palestin menjadi penghalang terbesar bagi menjamin keamanan di rantau Asia Barat itu.
Lebih setengah juta pendatang haram Yahudi tinggal di lebih 120 kawasan penempatan haram Yahudi di tanah milik Palestin sejak Israel menjajah kawasan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.
Dalam perkembangan terbaharu, pasukan keselamatan Israel yang lengkap bersenjata mengiringi 500 pendatang haram Yahudi yang memasuki 10 pangsapuri di dua bangunan di Salwin selepas mereka membeli aset itu daripada ejen hartanah tempatan.
Israel menyediakan kawalan keselamatan yang ketat, dipercayai sebagai cara mengelakkan berlakunya kekecohan dan konfrontasi dengan kira-kira 50,000 penduduk Palestin yang tinggal di daerah Silwan. – REUTERS