Penduduk Palestin dan pasukan keselamatan berdiri di atas serpihan runtuhan bangunan sambil menanti ketibaan Perdana Menteri Rami Hamdallah. - Foto: AFP
Penduduk Palestin dan pasukan keselamatan berdiri di atas serpihan runtuhan bangunan sambil menanti ketibaan Perdana Menteri Rami Hamdallah. - Foto: AFP
BAITULMAQDIS - PALESTIN. Sekumpulan penduduk Yahudi bertindak menyerbu dan merampas dua bangunan kediaman di kejiranan Silwan di Timur Baitulmaqdis, menurut pegawai Palestin, semalam.

Penasihat Hal Ehwal Baitulmaqdis untuk Pejabat Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, Ahmed al-Ruweidi memberitahu, penduduk Yahudi memasuki dua daripada tiga bangunan di Silwan dengan dilindungi polis Israel.

"Rampasan unit kediaman di Silwan adalah sebahagian daripada politik Israel yang bertujuan untuk menjadikan kejiranan tersebut sebagai kejiranan Yahudi," katanya kepada Middle East Monitor.

Menurutnya lagi, daerah itu merupakan usaha intensif Israel untuk merampas rumah milik penduduk Palestin dan beliau juga tidak bersetuju tindakan sesetengah penduduk Palestin yang bersetuju menjual harta mereka kepada Yahudi.

Sementara itu, Palestin menuduh Israel melancarkan kempen agresif untuk 'Yahudisasi' dengan tujuan melenyapkan identiti Arab dan Islam yang akhirnya mengusir penduduk Palestin. Perunding Palestin menegaskan bahawa pembangunan penempatan Israel perlu dihentikan sebelum rundingan damai dengan Israel yang terhenti disambung semula.