Wednesday 15 October 2014

Britain iktiraf negara Palestin

ANGGOTA Parlimen Britain secara majoriti mengundi menyokong usul pembangkang mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara. - AGENSI
LONDON 14 Okt. - Anggota Parlimen Britain semalam mengundi dengan keputusan majoriti mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, dalam satu usul yang tidak terikat, dan penuh dengan simbolik, namun keputusan itu tidak akan mengubah polisi kerajaan berhubung isu tersebut.
Usul itu disokong oleh 274 anggota Parlimen dan hanya 12 yang menentang untuk 'mengiktiraf Palestin bersama Israel sebagai sebuah negara, sebagai satu sumbangan mereka untuk memuktamadkan rundingan kepada penyelesaian pembentukan dua negara'.
Perdebatan hangat di Dewan Rendah Parlimen itu disaksikan penduduk seluruh dunia dan mungkin memberi kesan diplomatik serta mengukuhkan kempen oleh pihak berkuasa Palestin untuk mendapat pengiktirafan sebagai sebuah negara.
Tindakan itu dibuat selepas kerajaan Sweden mengumumkan ia akan mengiktiraf negara Pales­tin, sekali gus menjadi negara Kesatuan Eropah (EU) pertama di Eropah Barat berbuat demikian sehingga membangkitkan kemarahan Israel.
Bagaimanapun, kerajaan Bri­tain tidak terikat untuk membuat keputusan ke atas usul itu yang dimulakan oleh kumpulan penyokong pembangkang daripada Parti Buruh dan hanya mahu mengiktiraf negara Palestin pada masa yang sesuai.
"Aspirasi rakyat Palestin tidak boleh direalisasikan sepenuhnya sehingga ada penyelesaian kepada penjajahan ini dan kami percaya penubuhan (negara Palestin) itu hanya perlu dicapai menerusi proses rundingan.
"Hanya penamatan kepada pencerobohan akan memastikan negara Palestin akan menjadi satu kenyataan dan United Kingdom secara dua hala mengiktiraf sebuah negara Palestin apabila kami menilai bahawa ia adalah bantuan terbaik yang dapat membawa keamanan,'' kata Menteri Asia Barat, Tobias Ellwood.
Perdana Menteri Britain David Cameron dalam pada itu mengelak daripada mengundi bersama anggota kerajaan lain yang menyokong langkah penyelesaian dua negara.
Anggota Parti Buruh yang mengemukakan usul itu, Grahame Morris berhujah bahawa pengiktirafan sebuah negara Palestin boleh menghidupkan semula rundingan damai dengan Israel yang terhenti sebelum ini.
Sebelum perbahasan bermula, sejumlah penunjuk perasaan berhimpun dalam hujan lebat di luat bangunan Parlimen sambil membawa sepanduk yang menyokong penubuhan negara Palestin. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141015/lu_02/Britain-iktiraf-negara-Palestin#ixzz3GAC0qj6b
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment