Thursday, 4 September 2014

Sokongan ke atas Hamas meningkat


GAZA CITY 3 Sept. - Populariti pergerakan Hamas dalam kalangan penduduk Palestin di Gaza dan Tebing Barat semakin melonjak naik selepas konflik lebih 50 hari dengan Israel berakhir, lapor satu tinjauan yang disiarkan semalam.
Portal berita Fox News yang memetik keputusan tinjauan oleh Pusat Kajian Tinjauan dan Polisi yang diketuai oleh Khalil Shikaki, menunjukkan, sebanyak 61 peratus rakyat Palestin memilih pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh sebagai Presiden jika pilihan raya Presiden dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
Menurut Khalil, hanya 32 peratus penduduk memilih Presiden Palestin ketika ini, Mahmoud Abbas yang juga merupakan ketua pergerakan Fatah di Tebing Barat, untuk memegang jawatan tersebut.
Jelasnya, sokongan ke atas Hamas meningkat mendadak berbanding tinjauan sama yang dilakukan pada Jun lalu apabila sebanyak 41 peratus rakyat Pa-lestin menyokong kepimpinan pergerakan Islam yang menguasai Gaza itu berbanding 53 peratus sokongan yang diraih Abbas.
Tambah beliau, tinjauan yang dijalankan sejak 26 Ogos lalu sehingga empat hari kemudian, juga mendapati, seramai 72 peratus penduduk Palestin menyokong corak ketenteraan Hamas untuk diguna pakai di Tebing Barat yang dikuasai pergerakan Fatah.
"Sebanyak 79 peratus penduduk Palestin percaya Hamas memenangi peperangan dengan Israel dan 86 peratus lagi menyokong serangan roket ke atas wilayah Yahudi jika rejim Zionis tidak menarik semula sekatan ke atas Gaza.
"Ini merupakan kali pertama Hamas menerima sokongan majoriti daripada penduduk Palestin tetapi populariti ini dijangka menurun dalam tempoh beberapa bulan akan datang seperti yang berlaku dalam konflik Hamas-Israel sebelum ini," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140904/lu_05/Sokongan-ke-atas-Hamas-meningkat#ixzz3CHyGD1dV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment