Monday, 7 July 2014

Puluhan Arab Israel ditahan


Baitulmaqdis: Polis Israel semalam menahan puluhan penduduk dalam tempoh semalaman selepas rusuhan ganas meletus di beberapa bandar Arab di Israel berhubung kematian seorang remaja Palestin.

Pada masa sama, pihak tentera menjalankan 10 serangan udara di Gaza sebagai tindak balas terhadap serangan roket berterusan di selatan Israel oleh pejuang Hamas.


Keganasan meletus selepas seorang remaja diculik dan dibunuh Rabu lalu menimbulkan kemarahan dan merebak ke beberapa bandar Arab di Israel, kelmarin.

Laporan awal bedah siasat menunjukkan remaja berusia 16 tahun itu dibakar hidup-hidup.

Ramai penduduk Palestin percaya pembunuhan itu bermotifkan dendam selepas tiga remaja Israel diculik dan dibunuh di Tebing Barat, bulan lalu.
“Kira-kira 35 orang ditahan semalaman dengan hampir separuh daripada mereka di bawah umur,” kata jurucakap polis Luba Samri.

Daripada jumlah itu, 22 ditahan di sekitar bandar Nazareth, kawasan paling ramai penduduk Arab di Israel.

Luba berkata, selebihnya ditahan di Taibe di utara dan kawasan sekitar Umm el Fahm - kubu kuat pejuang Islam di timur laut Tel Aviv yang turut menyaksikan pertempuran pada Sabtu.

“Kami membantah provokasi dilakukan orang Israel secara online. Mereka berkata ‘matilah orang Arab,’” kata seorang penunjuk perasaan di Qalansuwa kepada radio tentera Israel.

Sementara itu, polis Israel mengesahkan sudah memulakan siasatan dalaman berhubung dakwaan keganasan polis berikutan penyebaran video yang menunjukkan polis pengawal sempadan membelasah seorang tahanan yang digari.

Video itu disebarkan selepas berita mengenai seorang remaja Palestin berusia 15 tahun yang juga warga Amerika Syarikat (AS) dipukul teruk ketika dalam tahanan polis di timur Baitulmaqdis yang dikecam hebat Jabatan Negara AS.

Sementara itu, pejuang Hamas melepaskan 15 roket dan tembakan mortar ke arah Israel dengan dua daripadanya menyasarkan bandar Beersheva.

Ini kali pertama bandar itu menjadi sasaran sejak operasi besar-besaran tentera di Gaza pada 2012.

Tentera udara Israel kemudian melancarkan serangan balas.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/07

No comments:

Post a Comment