Monday, 7 July 2014

Kesucian Ramadan terus dicemari


KEADAAN muka Tareq Abu Khudair yang cedera teruk akibat dibelasah tentera Israel hanya kerana menyertai bantahan kematian sepupunya yang mati dibakar oleh pelampau Yahudi. - AGENSI
BAITULMAQDIS 6 Julai - Genap seminggu umat Islam di seluruh dunia menunaikan ibadah puasa, kesucian bulan Ramadan terus dicemari keganasan, konflik dan penindasan yang masih berlanjutan di beberapa negara Islam.
Di Gaza, penindasan rejim Israel ke rakyat Palestin semakin berleluasa apabila kejadian terbaharu menunjukkan rakaman seorang remaja dipukul teruk oleh tentera rejim Zionis tersebar luas di Internet.
Mangsa, Tareq Abu Khudair, 15, merupakan rakyat Amerika Syarikat, dipukul dengan kejam oleh sekumpulan askar Israel hanya kerana menyertai bantahan bagi menuntut bela atas kematian sepupunya, Mohammed Abu Khudair yang mati dibunuh dan dibakar oleh pelampau Yahudi kira-kira tiga hari lalu.
Bapa Tareq, Salah el-Din Abu Khudair berkata, anak lelakinya tidak terlibat dalam pertempuran dan hanya memerhatikan bantahan.
"Usia anak saya baru 15 tahun. Adakah dia berbahaya atau memegang pistol?
"Adakah kamu (tentera Israel) menjumpai pistol atau batu padanya sehingga sanggup membelasah anak saya dengan teruk," katanya.
Dalam kejadian berasingan, penduduk Palestin meneruskan ibadah puasa mereka seperti biasa walaupun tentera udara Israel menggempur kira-kira 10 lokasi yang didakwa digunakan oleh pejuang Hamas di Genting Gaza sebagai membalas serangan roket dari wilayah tersebut.
Di Nigeria, sekurang-kurangnya 59 orang terbunuh termasuk enam askar apabila pihak tentera menghalang serangan militan Boko Haram di pangkalan tentera di Damboa di negeri Borno ketika kebanyakan polis dan anggota tentera keluar meronda.
Di Syria, lapan orang daripada keluarga yang sama maut, apabila tentera pimpinan Bashar al-Assad melancarkan serangan udara ke atas pekan Dael di wilayah Daraa selain kematian enam kanak-kanak akibat pertempuran di sempadan kawasan yang dikuasai tentera kerajaan dan kumpulan penentang.
Sementara itu di Iraq, ketua militan Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL), Abu Bakr al-Baghdadi membuat penampilan umum pertama dan menyeru umat Islam patuh kepadanya ketika 10 penduduk Kurdis di sebuah kampung dekat wilayah semi-autonomi Kurdistan.
Ancaman ISIL juga dikhuatiri merebak ke Arab Saudi apabila dua militan dipercayai anggota al-Qaeda meletupkan diri di sebuah bangunan kerajaan di selatan negara ini, serangan pengganas pertama sejak 10 tahun lalu.
Dalam pada itu, penduduk Islam di Myanmar juga berdepan krisis agama paling buruk apabila rusuhan di Mandalay menyaksikan pihak polis hanya mendiamkan diri apabila penganut Buddha bertindak ganas membakar sekolah agama dan beberapa bangunan lain serta menyerang masjid ketika solat tarawih berlangsung.
Saksi kejadian berkata, perusuh turut membawa senjata berbahaya termasuk kayu, batang besi dan gergaji, tetapi tiada kematian atau kecederaan dilaporkan. - REUTERS/AFP/DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140707/lu_03/Kesucian-Ramadan-terus-dicemari#ixzz36jCLMflU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment