Thursday, 17 July 2014

Israel teruskan kekejaman


Serangan yang dilancarkan semalam mensasarkan kediaman empat pemimpin kanan Hamas. 
Rejim Zionis itu turut memberi amaran kepada puluhan ribu penduduk supaya meninggalkan kawasan sempadan wilayah Palestin itu dengan alasan lebih banyak serangan akan dilancarkan. 

Serangan terbaru itu juga menyaksikan jumlah rakyat Palestin yang terbunuh sepanjang kempen keganasan Israel selama sembilan hari itu meningkat kepada 204 orang sementara lebih 1,450 lagi cedera.
Foto
ASAP dan debu menyelubungi ruang udara Gaza selepas tentera Israel melancarkan serangan terbaru, semalam.
Foto
SEORANG lelaki yang cedera akibat serangan udara tentera Yahudi dibawa ke Hospital al-Shifa di Gaza.
Foto
SEORANG kanak-kanak tidak berdosa dirawat di sebuah hospital di Khan Younis selepas cedera dalam serangan Israel.

Di pihak Israel pula, seorang terbunuh dan beberapa orang cedera sejak pertempuran tercetus 8 Julai lalu.

Serangan terbaru itu dilancarkan sehari selepas Israel menerima pelan gencatan senjata yang dikemukakan Mesir. 

Hamas bagaimanapun menolak pelan berkenaan kerana sudah jemu dengan janji rejim Zionis untuk mengendurkan sekatan yang kerap kali dilakukan tetapi kemudiannya dimungkiri, seperti yang pernah berlaku pada 2012. 

Dengan usaha yang dilakukan Mesir menemui jalan buntu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar memperhebatkan keganasan rejimnya. 

Laman sesawang Kementerian Dalam Negeri Palestin menyatakan pesawat Zionis Yahudi melakukan puluhan pengeboman semalam dengan menyasarkan 30 kediaman termasuk milik pemimpin kanan Hamas, Mahmoud Zahar, Jamila Shanti, Fathi Hamas dan Ismail Ashkar. 

Mahmoud adalah antara watak penting ketika Hamas mengambil alih pentadbiran Gaza pada 2007 sementara tiga pemimpin lain ialah ahli Parlimen yang dilantik pada 2006. 

Israel, dalam risalah yang digugurkan kepada rakyat Palestin, memberi amaran kepada mereka supaya meninggalkan wilayah di sempadan Gaza kerana tenteranya akan menjalankan pengeboman secara besar-besaran di kawasan itu. 

Namun, ia tidak dipedulikan sebahagian besar penduduk. 

“Kemana kami harus pergi? Saya tidak akan meninggalkan kediaman ini walau apapun terjadi. 

“Kami akan terus berada di sini di bawah perlindungan Allah,” kata seorang penduduk di Zeitun, Faisal Hussein. 

Pusat pemulihan Wafa di Shijaiyah yang menjaga 15 pesakit kurang upaya dan warga emas menerima beberapa panggilan daripada tentera Israel supaya memindahkan penghuninya. 

Seperti rakyat Palestin lain, pengarah pusat itu, Basman Ashi berkata, mereka tidak akan berganjak. 

Menurutnya, kawasan berhampiran pusat itu dibom baru-baru ini, menyebabkan bangunannya rosak tetapi tidak menyebabkan sebarang kecederaan. 

Dalam pada itu, empat sukarelawan asing - dari England, Amerika Syarikat, Perancis dan Sweden - mendirikan khemah di pusat pemulihan itu bagi mengelak tentera Yahudi mengebom tempat berkenaan. 

Sukarelawan England, Rina Andolini, 32, berkata pesakit dalam lingkungan usia 12 hingga 70 tahun berada di situ dan tiada sesiapa yang boleh berjalan tanpa bantuan. 

Ketika ditanya mengenai pusat pemulihan itu, jurucakap tentera Yahudi mendakwa kawasan berkenaan digunakan oleh Hamas untuk melancarkan serangan roket.- AP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

No comments:

Post a Comment