SHAH ALAM - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mahu masyarakat dunia buka mata terhadap kerakusan rejim Zionis yang menyerang dan membunuh penduduk Gaza yang tidak berdosa.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, keadaan semasa di Gaza pada ketika ini tidak ubah seperti kawasan penyembelihan tentera Israel terhadap umat Islam Palestin.

“Ini bukan sekadar perang. Ini adalah penyembelihan yang nyata kerana rejim Zionis bebas menembak dan mengebom sesiapa sahaja di bumi Gaza.

“Penduduk Gaza tidak dapat melarikan diri ke mana-mana kerana negara itu dikepung oleh sempadan Rafah (di Mesir),” katanya pada sidang media Himpunan Peduli Ummah, di sini, semalam.

Menurutnya, kelebihan teknologi perang yang ada pada rejim Zionis itu juga menyebabkan setiap inci bumi Gaza berisiko dimusnahkan Israel, sekali gus menyebabkan nyawa penduduk Palestin dalam bahaya.

Katanya, keengganan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat (AS) dan pertubuhan dunia menghukum Israel harus ditegur masyarakat dunia.

“Masyarakat seluruh dunia perlu bersuara kerana ini bukan isu agama semata-mata, tetapi turut melibatkan isu kemanusiaan sejagat.

“Apa yang mereka boleh lakukan ialah mendesak AS serta Mesir membuka pintu sempadan Rafah yang menjadi nadi bagi penduduk Gaza selain memaksa Israel untuk berundur,” katanya.

Azmi berkata, keadaan di Gaza yang semakin meruncing seharusnya menyentuh hati rakyat Malaysia membantu menyalurkan sumbangan dan menyatakan sokongan kepada Gaza.

Satu program dinamakan Pray 4 Gaza Himpunan Peduli Ummah anjuran pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan barisan artis akan diadakan bagi mengumpul dana untuk disalurkan ke dalam tabung Dana Kemanusiaan Selangor.

Program itu akan berlangsung pada 18 Julai bermula jam 3 petang bertempat di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.