GAZA CITY 1 Julai - Tentera rejim Israel melancarkan berpuluh-puluh serangan udara ke atas kedudukan kumpulan Hamas di Genting Gaza awal hari ini, ketika seorang remaja lelaki mati ditembak askar Zionis dalam satu serbuan ke atas kem pelarian di utara Tebing Barat.
Tentera Israel menyatakan, sebanyak 34 sasaran dibom dalam tempoh 10 minit ke atas kemudahan kumpulan Hamas dan pergerakan Jihad Islam.
Kapal tentera laut Israel turut melancarkan serangan meriam ke atas kemudahan Hamas di utara Gaza manakala empat penduduk Palestin cedera dalam serangan dekat sempadan selatan Genting Gaza.
Dalam pada itu, tentera Zionis mendakwa remaja lelaki yang dikenali sebagai Yusuf Abu Zagher, 18, cuba melancarkan serangan berani mati ke atas askar Zionis yang melakukan serbuan memburu anggota Hamas di kem pelarian Jenin.
Bagaimanapun, agensi berita, Palestin Wafa melaporkan, mangsa sedang membawa makanan untuk keluarganya berbuka puasa ketika ditembak oleh askar Yahudi.
Rejim Zionis melancarkan serbuan besar-besaran memburu anggota pergerakan Hamas yang dituduh terlibat dalam penculikan tiga remaja Yahudi yang ditemukan mati dibunuh di sebuah ladang di Hebron.
Namun jurucakap pergerakan Hamas, Sami Abu Zuhri menolak tuduhan dan ancaman Israel ke atas kumpulan terbabit sambil menyifatkan dakwaan rejim Zionis itu tidak boleh dipercayai.
"Tiada kumpulan Palestin, Hamas atau pergerakan lain yang terlibat dalam kes penculikan dan pembunuhan tiga remaja terbabit," katanya. - DPA
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140702/lu_05/Israel-gempur-kedudukan-Hamas#ixzz36Fwku66X
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment