TEL AVIV 3 Jun - Israel semalam mengancam untuk mengenakan sekatan lebih ketat ke atas Tebing Barat selepas pergerakan Fatah membentuk kerajaan perpaduan Palestin dengan Hamas yang memerintah Genting Gaza.
Menurut pejabat Perdana Menteri Israel, satu mesyuarat keselamatan Kabinet turut diadakan bagi berbincang tentang kerajaan baharu Palestin serta memberi kuasa kepada Benjamin Netanyahu untuk mengenakan sekatan tersebut.
Kenyataan itu menambah, Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang menguasai Tebing Barat turut bertanggungjawab di atas semua serangan yang dilancarkan terhadap Israel.
"Presiden Palestin, Mahmoud Abbas telah bekerjasama dengan Hamas, pertubuhan yang diisytiharkan sebagai pengganas di Amerika Syarikat, Eropah dan seluruh dunia.
"Perjanjian dengan Hamas membuatkan Abbas bertanggungjawab di atas semua serangan yang dilancarkan ke Israel," jelas kenyataan tersebut.
Terdahulu, Israel menggesa pemimpin dunia supaya tidak mengiktiraf kerajaan perpaduan Palestin dengan menyifatkan Kabinet baharu itu hanya akan 'memperkuatkan keganasan'.
Dalam pada itu, Barat hari ini menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan baharu Palestin selepas majlis angkat sumpah pembentukan kerajaan perpaduan tersebut dilaksanakan semalam.
Beberapa jam selepas majlis tersebut, Setiausaha Negara AS, John Kerry menghubungi Netanyahu bagi menyampaikan kesediaan AS untuk bekerjasama dengan kepemimpin baharu Palestin.
Israel dalam reaksinya meluahkan kekecewaan terhadap kesediaan AS untuk bekerjasama dengan kerajaan perpaduan Palestin.
"Kami amat kecewa dengan kenyataan Jabatan Negara AS yang menyatakan kesediaan mereka bekerjasama dengan kerajaan baharu Palestin.
"Kerajaan Palestin disokong oleh pergerakan pengganas, Hamas yang komited dengan usaha memusnahkan Israel," kata seorang pegawai Israel yang enggan dikenali.
Jelas Israel, sekiranya AS mahu mempercepat proses damai, negara itu patut memanggil Abbas untuk enamatkan pakatan dengan Hamas dan kembali dengan proses rundingan damai Israel. - AFP/AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140604/lu_03/Israel-enggan-bekerjasama#ixzz33cIYSqEl
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment