RAMALLAH 2 Jun - Hampir 10 tahun selepas terlibat dalam pertelagahan, pergerakan Hamas dan Fatah hari ini akhirnya membentuk kerajaan perpaduan baharu Palestin dalam satu majlis angkat sumpah di hadapan Presiden, Mahmoud Abbas.
Majlis ringkas yang diadakan di ibu pejabat Abbas di Tebing Barat itu, turut menyaksikan pembentukan barisan Kabinet baharu yang terdiri daripada 17 anggota dari kalangan teknokrat, diketuai Perdana Menteri, Rami Hamdallah.
Namun begitu, pada saat-saat akhir sebelum majlis mengangkat sumpah dijalankan, berlaku sedikit perselisihan faham di antara Hamas dan Fatah selepas jawatan Menteri Hal Ehwal Penjara dikeluarkan daripada senarai Kabinet.
Beberapa minit sebelum majlis berlangsung, pegawai Hamas berkata, masalah berkenaan sudah diselesaikan melalui pendekatan bertolak ansur, namun tidak menjelaskan lebih lanjut.
Menurut sumber, Hamas bersetuju untuk mengekalkan portfolio itu, yang mana jawatannya akan disandang oleh Rami.
Hamas pada 2007 merampas Genting Gaza menyebabkan pergerakan Fatah pimpinan Abbas hanya mentadbir Tebing Barat.
Penubuhan kerajaan perpaduan tersebut akan menjadi langkah terbaik untuk menamatkan perpecahan politik dalam mencapai pembentukan negara Palestin di Tebing Barat, Gaza dan timur Baitulmaqdis, yang dirampas Israel pada 1967.
Sejak tujuh tahun lalu, rundingan damai antara kedua-dua pergerakan tersebut gagal ekoran Hamas dan Fatah masing-masing enggan mengalah dalam tuntutan mereka.
Hamas mengalami krisis kewangan ekoran sekatan dikenakan di sempadan Israel dan Mesir. - AGENSI/AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140603/lu_03/Fatah-Hamas-bentuk-kerajaan#ixzz33cHTDmnQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment