Wednesday 21 May 2014

Israel tahan ramai kanak-kanak Palestin


Askar Israel menahan seorang kanak-kanak Palestin yang cuba mengambil gambar semasa bantahan terhadap penempatan haram Yahudi di kampung Al Ma'sara, Tebing Barat pada 9 November 2012. - AGENSI
BAITULMAQDIS 20 Mei - Jumlah kanak-kanak Palestin yang dikurung dan didera semasa disiasat oleh pihak berkuasa Israel, dilaporkan semakin meningkat sejak beberapa tahun lalu, kata sebuah pertubuhan kanak-kanak antarabangsa.
Pengarah Program Tanggungjawab Pertubuhan Perlindungan untuk Kanak-kanak Antarabangsa (DCI), Ayed Abu Eqtaish berkata, kaedah pengurungan secara berasingan ke atas kanak-kanak Palestin oleh rejim Zionis semakin membimbangkan dan tindakan itu jelas melanggar hak asasi golongan tidak bersalah tersebut.
Sambil memetik laporan baru-baru ini, Ayed berkata, sebanyak 100 kes penahanan kanak-kanak Palestin dicatatkan di kem tahanan tentera Israel dan 21 peratus daripada jumlah itu dikenakan tahanan berasingan.
Jelasnya, kanak-kanak itu dikurung selama purata 10 hari dan tempoh paling lama yang pernah dicatatkan adalah selama 29 hari pada 2012 dan 28 hari pada tahun berikutnya.
“Setiap laporan direkodkan berdasarkan pengalaman mangsa yang mendakwa mereka dipukul, digari dan dilarang menggunakan tandas ketika dikenakan tahanan berasingan.
“Saya meminta masyarakat antarabangsa memandang serius isu ini dan menjalankan siasatan terhadap kes yang dilaporkan bagi membolehkan kanak-kanak Palestin mendapat keadilan," katanya kepada rangkaian berita Al-Jazeera.
Menurut pertubuhan yang beribu pejabat di Geneva itu, sepanjang tahun lalu, kanak-kanak Palestin berusia antara 12 dan 17 tahun paling ramai ditahan di penjara tentera Israel.
Di kebanyakan negara, tindakan mengasingkan tahanan juvenil dilaksanakan bagi mengelakkan mereka bergaul dengan tahanan dewasa, tetapi di Israel, kaedah berkenaan digunakan sama ada untuk mendapatkan pengakuan atau mengumpul maklumat daripada individu lain.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140521/lu_06/Israel-tahan-ramai-kanak-kanak-Palestin#ixzz32IsB8Ma8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment