KEHADIRAN seorang gadis di dalam pejabat pentadbiran Palestin di Gaza,  bukanlah sebagai penyeri pejabat,  beliau sebaliknya bertanggungjawab sebagai jurucakap yang dilantik oleh pergerakan Hamas.

Israa al-Mudallah, 23, yang fasih berbahasa Inggeris nekad mengambil peluang pekerjaan itu untuk membuktikan dan mendedahkan segala permainan politik Palestin yang selama ini menjadi mangsa rejim Zionis dan sekutunya, Barat.

Tugas sebagai jurucakap Hamas bagi media antarabangsa bukanlah satu tugasan mudah buatnya.

Beliau bertanggungjawab menyampaikan pandangan kerajaan Palestin dengan kata lain, segala perspektif Hamas di Gaza sejak pengusiran Mahmoud Abbas enam tahun lalu.

“Sebenarnya saya tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku kerana saya bukan dari pergerakan Hamas,” katanya.

Latar belakang

Israa anak kelahiran Mesir ini dibesarkan di bumi Gaza. Beliau sekeluarga kemudian berpindah bagi mengikut bapanya yang juga seorang pensyarah sains politik dan sejarah di Universiti Islam Gaza untuk melanjutkan pelajaran di Britain.

Dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan pendidikan, gadis tinggi lampai ini banyak didedahkan dengan budaya Barat.|

Sebelum  melanjutkan pelajaran dalam bidang kewartawanan di Universiti Islam Gaza, Israa mendapat pendidikan di sekolah rendah di bandar  Bradfort.

Dari situ, beliau banyak bergaul dengan kanak-kanak tempatan hingga meningkat remaja.

Sebelum bekerja sebagai juru cakap Hamas, beliau merupakan seorang wartawan penyiaran di salah satu stesen televisyen berbahasa Inggeris di Mesir.

“Masalah manusia adalah paling penting, terutama krisis kemanusiaan. Saya sedih tempat kelahiran saya di sebuah perkampungan berhampiran Pelabuhan Ashdod kini menjadi wilayah Israel selatan.

“Pencabulan terang-terangan rejim Zionis menyebabkan kami sekeluarga hilang tempat tinggal. Kini, kami terpaksa tinggal di Rafah iaitu sempadan Gaza-Mesir,” katanya.

Keadaan itu menyebabkan bekas pelajar Universiti Islam Gaza ini nekad berkhidmat di Gaza bagi memperjuangkan haknya sama seperti penduduk Palestin lain.

Pelantikan

Ketua biro perhubungan kerajaan, Ihab al-Ghussein berkata, keputusan untuk melantik Israa dibuat berlandaskan kefasihan beliau bertutur dalam bahasa Inggeris.

Ia juga merupakan satu strategi buat gerakan itu memudahkan komunikasi secara langsung dengan dunia luar terutama Barat.

“Israa juga adalah seorang aktivis dalam memperjuangkan hak Palestin. Pelantikan beliau juga menyaksikan kebangkitan generasi dalam membarisi kerajaan Hamas.

“Beliau mewakili suara belia. Pandangan beliau amat penting untuk kemajuan Palestin,” katanya.

Pendekatan

Kelantangan beliau berbicara dan melontarkan pandangan dalam wawancara ‘Menangani media Barat dan Israel’ suatu ketika dahulu menjadi kerisauan Barat dan Israel.

Beliau dengan sinis menyatakan Barat dan Israel dengan mudah membeli media untuk menutup pekung dan onar yang mereka lakukan terhadap penduduk Palestin.

“Media Barat dan Israel memberikan gambaran berbeza tentang Palestin dan Gaza. Tugas saya kini adalah membongkar semua fakta yang sebelum ini diputar belitkan oleh mereka untuk mengaburi mata masyarakat dunia. Media Israel selama ini banyak

memalsukan fakta-fakta termasuk menukar sejarah negara mereka sendiri,” katanya.

Pada permulaan pelantikan,  beliau banyak menumpukan pada masalah pencatuan elektik dan menaik taraf pendidikan kanak-kanak di Gaza.

“Kanak-kanak harus diterapkan dengan seberapa banyak ilmu kerana mereka adalah generasi pemimpin masa depan,” katanya.

Kehadiran tepat pada masanya

Kehadiran beliau sebagai sebahagian daripada kerajaan Hamas adalah tepat pada masanya. Ketika pelantikan seorang menteri wanita tunggal dalam kerajaan Jamilla Al Shanti, gandingan dua wanita ini dianggap pelengkap dalam kesaksamaan hak wanita dan lelaki.

Kehadiran wanita dalam pentadbiran menyaksikan wanita Palestin juga layak memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan sekali gus melenyapkan tanggapan bahawa pemerintahan Islam sering mengetepikan hak wanita.

Pelantikan Israa di buat tatkala Hamas menghadapi sekatan ekonomi enam tahun oleh Israel. Selain itu, tentera Zionis juga kerap menyerang penduduk Palestin tanpa sebab dan kehadiran beliau juga penuh cabaran apabila pergerakan Ikhwanul Muslim Mesir yang merupakan sekutu kuat Hamas dilabelkan sebagai pengganas.

Cabaran

Kini, tugas Israa semakin berat apabila sekatan ekonomi masih dilakukan Israel sejaka 2007 di Genting Gaza. Tidak hanya itu, beliau juga harus menjadi individu paling penting dalam rundingan konflik antara Fatah dan Hamas. Seperti diketahui, kedua duannya masih berhadapan krisis sejak Hamas meraih kemenangan dalam pilihan raya 2006  dan 2007 hingga menyebabkan pentadbiran Palestin terbahagi kepada dua pentadbiran di mana Hamas menguasai wilayah Gaza dan Fatah mentadbir di Tebing Barat.

Selain itu, genting gaza juga berhadapan kemelut apabila import dan eksport di Genting Gaza dihadkan  hingga  membawa kepada krisis kemanusiaan.

Peningkatan serangan Israel sejak 2008 hingga 2011 yang mengorbankan lebih 1,400 penduduk di Gaza termasuk kemusnahan infrastruktur juga terpikul dibahu beliau.

Tidak gentar

Israa sedar  berada sebaris dengan pemimpin Hamas bukan suatu perkara mudah. selain mengorbankan tenaga beliau juga memperjudikan nyawanya.

“Saya tidak mahu takut dengan perkara yang belum berlaku, jika saya meninggal dunia di tangan Zionis  anggaplah pengorbanan itu adalah untuk negara saya,” katanya.

Baginya, permainan kotor dan kekejaman Israel perlu dibongkar supaya masyarakat dunia tahu mengapa hingga kini Palestin masih memperjuangkan hak negaranya.

“Walaupun saya disekat daripada mengeluarkan pendapat sama seperti wartawan di Gaza, namun pendedahan telus harus disebarkan. Jangan mimpi saya mahu meminta maaf kepada Israel kerana segala yang saya suarakan dari pengalaman dan bukti bukan kerana emosi,” katanya.