Tuesday, 15 April 2014

Punca kebuntuan rundingan damai didedah

Punca kebuntuan rundingan damai didedah
Beberapa keluarga pendatang Yahudi berpindah semula ke kediaman yang dirampas dari penduduk Palestin sambil dikawal tentera Israel. 
15 April 2014 TEL AVIV- Ketua Perunding Israel, kelmarin mendedahkan perbezaan pendapat dalam kerajaan gabungan pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menjadi punca kebuntuan rundingan bersama Palestin.

Menurut Tzipi Livni, beliau amat optimistik mengenai proses damai di Timur Tengah itu, namun ada beberapa pihak mahu mensabotaj usahanya.

"Ada musuh dalam selimut yang tidak mahu keamanan di rantau ini. Sebuah parti propendatang Yahudi pimpinan Naftali Bennett dan Menteri Perumahan Uri Ariel sedang cuba untuk menggagalkan rundingan tersebut," jelasnya pada Al-Arabiya.

Dalam perkembangan lain, Menteri Pertahanan Moshe Yaalon membenarkan pendatang Yahudi untuk kembali semula ke kediaman mereka di bandar Hebron, Tebing Barat yang menjadi pertikaian sejak tujuh tahun lalu.

Tindakan itu dibuat selepas Mahkamah Agung memutuskan pendatang Yahudi sebagai pemilik sah bangunan empat tingkat di kawasan tersebut, bulan lalu selepas mereka diusir pada 2008.

Bagaimanapun, langkah terbabit dikecam perunding Palestin, Mohammed Shtayyeh yang mendakwa ia sebagai langkah provokasi menjelang tarikh akhir rundingan damai pada 29 April depan.

No comments:

Post a Comment