Tuesday, 7 January 2014

Ulasan 2013 | Krisis Kemanusiaan di Gaza Yang Masih Belum Bernoktah



Sejak dikenakan sekatan dan kepungan oleh rejim Zionis Israel pada 2007, situasi kehidupan di Gaza semakin meruncing. Penderitaan di Gaza semakin mendapat perhatian dunia selepas Operation Cast Lead (Disember 2008 - Januari 2009) yang menyaksikan berpuluh kesalahan jenayah perang dilakukan oleh rejim Zionis Israel.

Dunia kemudiannya menyatakan solidariti mereka dengan menghantar Gaza Freedom Flotilla pada Mei-Jun 2010. Malangnya Flotilla ini dihalang masuk ke perairan Gaza dan sebahagian diserang hingga menyebabkan kematian dan kecederaan parah. Penumpang Flotilla yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan agama, hanya bersenjatakan penyapu, lastik dan beberapa peralatan lain diserang dengan rakus oleh komando rejim Zionis Israel. Kemarahan dunia menyebabkan sekatan ke atas Gaza dilonggarkan sedikit. Namun, ia masih jauh daripada tahap minimum yang diperlukan warga Gaza.

Apabila Arab Spring muncul dan menaikkan Presiden Mohammad Morsi sebagai Presiden baru Mesir, sempadan Rafah telah dibuka seluas-luasnya. Gaza mula bernafas kembali. Namun, ruang ini pantas ditutup oleh rejim Zionis Israel dengan melancarkan Operation Pillars of Cloud pada November 2012. Serangan selama 8 hari ini telah memusnahkan banyak infrastruktur di Gaza dan menyebabkan kerugian berjuta-juta US dollar. Namun, Gaza masih beruntung kerana ketika itu Presiden Morsi berjaya mendesak Israel ke meja rundingan dan menerima syarat-syarat gencatan senjata yang tidak pernah dibayangkan Israel akan bersedia menerimanya.

Malangnya, panas yang dijangka sampai ke petang, hujan pula di tengah hari. Selepas kudeta ke atas kerajaan Mesir pimpinan Presiden Morsi pada Julai 2013, Gaza kembali menjadi penjara derita. Sempadan Rafah kembali tertutup. Malah situasi menjadi lebih teruk berbanding sewaktu era Mubarak

Lebih seribu terowong penghubung Rafah-Gaza dimusnahkan menyebabkan kadar pengangguran meningkat dengan mendadak. Bekalan bahan api disekat menyebabkan loji kumbahan tidak berfungsi hingga air tidak terawat melimpah keluar ke jalanan seterusnya menyebabkan banjir kecil. Hospital dan industri pula tidak dapat beroperasi dengan baik. Bekalan air bersih menjadi semakin terhad.

Keadaan semakin meruncing apabila Gaza ditimpa hujan lebat pada musim sejuk Disember baru-baru ini, yang terburuk dilaporkan sejak lebih 40 tahun yang lalu. Rumah mereka habis tenggelam dan tinggallah mereka sehelai sepinggang. Sukar untuk membayangkan bagaimana mereka mampu bertahan dalam kesejukan yang mencengkam. Ini ditambah dengan bekalan makanan yang semakin berkurangan.

Tergamakkah kita melihat saudara-mara kita khususnya kanak-kanak, wanita dan warga emas terus terhimpit?

Sama ada kita bersama atau tidak, mereka di Gaza akan terus bangkit. Mereka telah melaluinya lebih daripada satu generasi. Dan mereka akan terus bertahan di bumi barakah itu hingga Allah SWT menetapkan keputusan yang dikehendakiNya.

Ini adalah peluang amal yang dibuka luas oleh Allah SWT untuk kita umat akhir zaman yang serba kekurangan imannya.

Moga Allah merahmati dan membantu mereka di sana; insyaAllah melalui kita yang berada serba cukup di sini, di bumi bertuah bernama Malaysia.

[KJ]

Mari melanggan 'Newsletter' kami: http://goo.gl/kg05AJ
#pace

No comments:

Post a Comment