Tuesday, 7 January 2014

Hari Ini Dalam Sejarah Palestin | 3 Januari 1919 | Asobiyyah Yang Membunuh Ummah, Menggadai Palestin



Perang Dunia Pertama (WWI) telah menyaksikan bagaimana semangat asobiyyah kembali memporak-perandakan dunia Arab setelah berkurun lama ia berjaya ditundukkan oleh Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW di wilayah itu sejak tahun 610 Masihi.

Julai 1915- Januari 1916 telah menyaksikan berlakunya pakatan rahsia antara Emir Hussein bin Ali, Sharif di Mekah dan Sir Henry McMahon, British High Commissioner di Mesir untuk menentang Khalifah Turki Uthmaniyyah dan mengembalikan semula Sistem Khilafah ke Jazirah Arab. Pakatan ini tercatat dalam lembaran sejarah sebagai Hussein-McMahon Correspondence.

Hasilnya, pemberontakan telah berlaku di wilayah-wilayah Arab dari 1916 hingga 1918 dengan bantuan tentera British. Emir Hussein mengisytiharkan dirinya sebagai Raja Arab di Hijaz yang merangkumi wilayah-wilayah di Palestin, Syria, Jordan, Iraq dan Jazirah Arab.

Pengiktiran British ke atas Kerajaan Hijaz kemudiannya membawa kepada jemputan Emir Faisal, anak Emir Hussein, ke Paris Peace Conference 1919 bagi membincangkan pembahagian tanah-tanah Arab selepas Perang Dunia Pertama (WWI).

Di sinilah termeterainya Perjanjian Faisal-Weizmann pada 3 Januari 1919 yang menyaksikan pengiktirafan ke atas Perjanjian Balfour 1917 oleh Raja Arab bagi membenarkan penghijrahan beramai-ramai warga Yahudi ke Palestin dalam usaha menjadikannya sebagai tanah air Yahudi. Emir Faisal mewakili Raja Arab dan Chaim Weizmann* mewakili Pertubuhan Zionis Sedunia.

Namun, perjanjian ini tidak membuahkan hasil apabila Emir Hussein dan Emir Faisal mendapat tahu tentang butir-butir perjanjian rahsia antara British dan Perancis untuk membahagi-bahagikan tanah Arab dengan cara mereka sendiri (rujuk Perjanjian Sykes-Picot 1916). Mereka membantah tetapi ianya hanyalah sia-sia. Nasi telah menjadi bubur.

Akhirnya Emir Hussein digulingkan oleh Keluarga Saud (kini pemerintah Arab Saudi) dan beliau menghabiskan sisa-sisa hidupnya di Jordan. Emir Faisal pula memerintah sebentar di Syria sebelum dihantar jauh ke Iraq.

Zionis pula akhirnya berjaya mendapatkan negaranya sementara dunia Arab kini dibahagi-bahagikan kepada negara-negara yang terpisah oleh sempadan asobiyyah bertopengkan nasionalisma.

Ketamakan kuasa telah memusnahkan kesatuan ummah hingga kita rela bersekongkol dengan musuh untuk menjatuhkan antara satu sama lain.

Palestin kini menjadi batu tanda dan peringatan Allah SWT akan kebusukan asobiyyah yang telah membunuh kesatuan ummah ini hampir seratus tahun yang lalu.

Jika perpecahan ummah telah menyebabkan Palestin terlepas daripada genggaman kita, maka hanya dengan kesatuan ummah sahaja kita akan mampu mengembalikan semula Palestin kepada umat ini.

Jika ummah ini bersatu, tiada satu kuasa pun mampu mengganggu-gugat hak dan maruah umat Islam; tidak US, tidak Eropah, tidak juga Israel!

[KJ]

*Chaim Weizmann telah dilantik sebagai Presiden Israel yang pertama atas jasa-jasanya merealisasikan penubuhan negara haram Israel.

No comments:

Post a Comment