Thursday, 5 December 2013

Yasser Arafat tidak diracun - Saintis Perancis


Suha Arafat (tengah) bersama peguamnya, Pierre-Olivier Sur (kanan) di persidangan media mengenai keputusan laporan kematian Yasser Arafat oleh pakar Perancis di Paris, kelmarin. - AGENSI
PARIS 4 Dis. - Saintis Perancis menolak laporan sebelum ini yang menyatakan pemimpin Palestin, Yasser Arafat mati akibat racun radioaktif polonium seperti yang terkandung dalam laporan forensik Switzerland pada bulan lalu.
Balu Yasser, Suha Arafat semalam berkata, beliau kecewa apabila menerima laporan saintis Perancis yang mendapati racun polonium yang terdapat pada jenazah Arafat wujud secara semula jadi sekaligus menunjukkan kematian suaminya tidak mempunyai unsur jenayah.
Jelasnya, laporan terbaharu itu berbeza dengan laporan pakar Switzerland sebelum ini yang menemukan kesan polonium-210 dan plumbum dalam jenazah Arafat dan menyatakan kematian Arafat konsisten akibat keracunan polonium.
"Laporan pakar forensik Perancis menolak andaian yang mengatakan suami saya mati akibat diracun.
"Ia sangat meragukan kerana kedua-dua kajian yang dijalankan oleh pakar dari Perancis dan Switzerland menemukan bahan radioaktif pada mayat Arafat," katanya.
Sekumpulan pakar forensik dibentuk daripada tiga buah negara untuk menyiasat sama ada racun polonium menjadi punca kematian Arafat yang dirawat di sebuah hospital tentera di Perancis pada 2004.
Pihak Palestin mengesyaki Israel meracun Arafat, namun dinafikan berulang kali oleh rejim Zionis tersebut.
Di Ramallah, pegawai kanan Palestin, Wasel Abu Yousef berkata, laporan terbaharu itu tidak boleh diterima kerana telah dipolitikkan.
"Laporan pakar Perancis cuba melindungi kejadian sebenar yang berlaku di hospital Percy di Paris kira-kira sembilan tahun lalu," katanya. - AGENSI/AFP/REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131205/lu_05/Yasser-Arafat-tidak-diracun---Saintis-Perancis#ixzz2oOZwJIGl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment