NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Palestin mengundi buat kali pertama di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB), sekali gus menyaksikan peluang untuk menjadi ahli penuh PBB cerah.

Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour berkata, langkah ini adalah permulaan untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara dan boleh menjadi ahli penuh PBB.

Menurut Press TV, “Ia satu catatan bersejarah buat perjuangan rakyat Palestin bagi mengukuhkan kedudukan di peringkat antarabangsa,“ katanya.

Pada November 2012, Perhimpunan Agung PBB mengundi untuk menaik taraf status Palestin daripada entiti pemerhati bukan ahli kepada negara pemerhati bukan ahli namun tindakan itu mendapat tentang dari Israel dan Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, keputusan undian itu memihak kepada Palestin selepas memperoleh 138 negara menyokong, sembilan menentang dan 41 berkecuali.

Dalam perkembangan berasingan, Ketua Jihad Palestin, Ramadan Abdullah Mohammad Shallah menegaskan beliau tidak akan duduk semeja dengan rejim Tel Aviv dalam proses damai ditaja Amerika Syarikat tahun depan.

“Israel tidak berhasrat untuk memberikan apa-apa kepada rakyat Palestin. Mereka akan terus membina penempatan haram di wilayah Palestin, oleh itu buat apa kami sertai rundingan tersebut,” katanya.