Friday 15 November 2013

Kemelut rundingan Asia Barat


Gambar fail bertarikh 13 September 2010, menunjukkan kawasan perumahan haram baharu Yahudi di Givat Zeev, tebing Barat, di utara Baitulmaqdis. - AFP
RAMALLAH 14 Nov. - Proses rundingan damai Asia Barat 'ditimpa' masalah terbaharu apabila semua anggota pasukan rundingan Palestin semalam meletakkan jawatan bagi membantah pembinaan penempatan haram Yahudi.
Sumber berkata, antara yang menyerahkan surat peletakan mereka merupakan ketua perunding, Saeb Erakat.
Seorang jururunding Palestin, Mohammed Shtayyeh berkata, tindakan itu diambil sebagai maklum balas kepada 'peningkatan pembinaan penempatan haram Yahudi dan ketiadaan harapan untuk mencapai sebarang hasil'.
"Sehingga sekarang, Presiden, Mahmoud Abbas masih belum menerima peletakan jawatan kami,'' katanya.
Beliau berkata, Israel bertanggungjawab sepenuhnya di atas segala kegagalan dalam melakukan rundingan damai berikutan aktiviti pembinaan rumah haram Yahudi yang terus dilaksanakan.
Seorang lagi jururunding yang enggan dikenali mengesahkan peletakan jawatan tersebut.
"Abbas mempunyai sejumlah pilihan, beliau boleh menolak atau menerima tindakan kami dan membentuk delegasi baharu,'' katanya, merujuk kepada kemungkinan rundingan tidak secara langsung iaitu melalui pasukan Amerika Syarikat (AS).
Jurucakap Jabatan Negara AS, Jen Psaki menyatakan, Abbas kekal memberi komitmen untuk mengadakan rundingan damai 'dalam tempoh rangka kerja selama sembilan bulan seperti dijanjikan sebelum ini'.
"Kedua-dua pihak kekal menyatakan komitmen mereka pada minggu lepas. Justeru, kami akan terus melakukan rundingan,'' katanya kepada wartawan.
Rundingan damai secara langsung kelolaan Washington berjalan semula pada Julai lalu selepas tiga tahun tertunda ekoran keengganan Palestin melakukannya setelah Israel meneruskan pembinaan penempatan haram tersebut.
Sejak itu, Israel mengumumkan rancangan untuk membina beribu-ribu penempatan haram baharu di Tebing Barat, kawasan yang ingin dijadikan sebahagian daripada negara Palestin.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam mengarahkan pembatalan lebih 20,000 rumah haram di Tebing Barat, hanya beberapa jam selepas rancangan pembinaan itu diumumkan kerana mendapat kecaman Palestin dan AS. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131115/lu_03/Kemelut-rundingan-Asia-Barat#ixzz2kfMph0Pb
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment