Wednesday 13 November 2013

Israel batal bina 20,000 rumah haram


Gambar fail bertarikh 25 Ogos 2005, menunjukkan pemandangan kawasan perumahan haram terbesar Israel, Maaleh Adumim, di Tebing Barat, kira-kira lapan kilometer dari timur Baitulmaqdis. - AP
BAITULMAQDIS 13 Nov. - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam membatalkan rancangan untuk membina 20,000 rumah penempatan haram di Tebing Barat, beberapa jam selepas pengumuman pembinaan tersebut dikritik Amerika Syarikat (AS) dan Palestin.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan menjelaskan, Netanyahu mengarahkan Menteri Perumahan Israel, Uri Ariel untuk 'menimbang semua langkah penilaian rancangan' yang diagihkan tanpa sebarang penyelarasan.
"Rancangan itu tidak membawa apa-apa makna dari segi perundangan dan merupakan satu tindakan yang mewujudkan konfrontasi dengan masyarakat antarabangsa ketika kita berusaha mendesak satu perjanjian lebih baik dicapai dengan Iran,'' kata kenyataan tersebut.
Arahan Netanyahu dikeluarkan selepas Presiden Palestin, Mahmoud Abbas memberi amaran pengumuman pembukaan tender rancangan pembinaan tersebut oleh Kementerian Perumahan semalam, akan menyebabkan beliau membatalkan proses damai anjuran AS itu.
Washington melahirkan kebimbangan dengan tindakan tersebut yang akan meningkatkan jumlah peneroka haram Yahudi di Tebing Barat yang kini berjumlah 550,000 orang.
Netanyahu dalam kenyataan tersebut secara jelas menyatakan, pengumuman tender itu akan mengganggu usahanya untuk meyakinkan kuasa dunia supaya tidak menandatangani perjanjian dengan Iran berhubung program nuklear Teheran.
"Ketika ini, perhatian masyarakat antarabangsa tidak boleh dialihkan daripada usaha utama iaitu menghalang Iran daripada menerima perjanjian yang akan membenarkan negara itu meneruskan program nuklearnya,'' kata Netanyahu.
Netanyahu menentang keras perjanjian enam negara kuasa dunia dengan Iran berhubung program nuklear tersebut yang dilihat Perdana Menteri Israel itu memberi kelebihan kepada Teheran. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131114/lu_05/Israel-batal-bina-20000-rumah-haram#ixzz2kb8DoGb4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment