Wednesday, 13 November 2013

Lokasi majlis peringati kematian Yasser Arafat digempur Israel


BAITULMAQDIS 12 Nov. - Anggota tentera dan pegawai perisikan Israel menyerbu sebuah kelab sukan di sini ketika satu majlis memperingati ulang tahun kesembilan kematian bekas Presiden, Yasser Arafat, diadakan.
Tindakan itu mengundang insiden pertempuran antara tentera Israel dan pemuda Palestin berhampiran kelab di Silwan, Baitulmaqdis.
Tentera Israel turut melepaskan bom yang mengeluarkan bunyi kuat, menyebabkan seorang pemandu motosikal cedera akibat terkena serpihan bom.
Menurut saksi, pasukan keselamatan Israel menyerbu kelab itu dan memaksa majlis tersebut dihentikan dengan segera sambil menunjukkan surat arahan yang ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri, Gideon Sa'ar yang mengharamkan penganjuran acara berkenaan.
"Selepas mengetahui Pihak Berkuasa Palestin menaja majlis memperingati kematian Arafat tanpa mendapatkan lesen atau surat kebenaran, saya dengan ini mengharamkan program itu di mana-mana lokasi lain di Baitulmaqdis," menurut surat arahan itu.
Setiausaha Agung Fatah di Baitulmaqdis, Omar Shalabi mengecam pengharaman itu dan menyatakan empat penduduk Palestin, Maamoon Abbasi, Anas Abbasi, Muhammad Abu Swayy dan Ghadyan Qemary telah disaman oleh Israel.
Sementara itu, beribu-ribu penduduk Palestin mengadakan perhimpunan di beberapa bandar di Tebing Barat semalam untuk memperingati ulang tahun kematian Arafat.
Insiden pertempuran turut berlaku di beberapa kawasan di Hebron antara pemuda Palestin dan tentera Israel.
Ulang tahun kali ini disambut selepas Switzerland yang menjalankan ujian ke atas sampel yang diambil daripada mayat Arafat, mendapati ia memiliki tahap radioaktif polonium 18 kali lebih tinggi daripada biasa. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131113/lu_06/Lokasi-majlis-peringati-kematian-Yasser-Arafat-digempur-Israel#ixzz2kUbdacoO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment