Monday 17 June 2013

Palestin, Israel menuju keamanan

Palestin-Israel
PUTRAJAYA - Israel dan Palestin kini berada di 'road map' menuju keamanan dan ini akan berlaku menerusi kewujudan demokrasi, kata seorang aktivis keamanan Israel hari ini.
 
Miko Peled, yang membesar dalam sebuah keluarga Zionis, berkata terdapat anjakan pendapat yang besar di Barat dan seantero dunia kini di mana lebih ramai orang bercakap mengenai gerakan boikot, penarikan keluar pelaburan dan sekatan antarabangsa (BDS) (terhadap Israel).
 
“Kami berada di jalan menuju keamanan. Saya yakin keamanan akan berlaku menerusi kewujudan demokrasi, Palestin yang bebas dan demokratik di mana rakyat Israel dan Palestin hidup bebas dan dalam demokrasi secara sama rata.
 
“Hari ini, gereja-gereja besar di AS bercakap mengenai BDS, kesatuan sekerja, kumpulan pelajar teras meluluskan resolusi menerima sebahagian dari sekatan BDS...Lebih ramai orang mengiktiraf perjuangan Palestin sebagai perjuangan moral," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Peled menyampaikan ceramah mengenai bukunya, "The General's Son: Journey of an Israeli in Palestine" di Yayasan Keamanan Global Perdana.
 
Turut hadir bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Peled berkata tekanan antarabangsa termasuk menyokong gerakan BDS dapat menamatkan kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.
 
Beliau berkata adalah penting untuk mendidik dan mencetuskan kesedaran di kalangan masyarakat antarabangsa agar mengenakan tekanan terhadap Israel dengan bertindak menentang negara rejim itu.
 
Untuk itu lebih banyak acara perlu diatur bagi mendidik dan mencetuskan kesedaran orang ramai. - Bernama

No comments:

Post a Comment