26 SEPTEMBER 2016
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Calon Presiden Amerika Syarikat (AS) daripada Parti Republik, Donald Trump menegaskan sekiranya beliau terpilih untuk menjadi Presiden AS, dia akan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel tanpa dikongsi dengan sesiapapun.
Memetik laporan Reuters, kenyataan itu disampaikan Trump dalam pertemuannya bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang berlangsung di Trump Tower, New York Ahad lalu.
Dalam pertemuan tertutup itu, Trump berkata, beliau sependapat dengan Netanyahu bahawa isu pendamaian di Timur Tengah hanya akan tercapai sekiranya negara Palestin dapat membuang sikap kebencian dan kekerasan mereka terhadap Israel.
"Trump menyatakan Israel dan rakyatnya telah menderita terlalu lama kerana berdepan dengan isu keganasan, Trump setuju bahawa masyarakat Israel mahukan kedamaian, namun matlamat itu hanya akan muncul sekiranya Palestin meninggalkan sifat kebencian mereka terhadap Israel sebagai sebuah negara Yahudi," jelas jurucakap kempen Trump.
Pertemuan yang berlangsung selama 90 minit itu memperlihatkan, kedua-dua pihak turut membahasakan mengenai tembok yang dibina Israel di Palestin yang dilihat cukup 'membuahkan hasil' apabila berjaya membawa keamanan di sempadan, oleh itu Trump menegaskan jika beliau terpilih nanti dia juga akan turut membangunkan tembok di sempadan AS-Mexico dan akan melarang umat Islam daripada memasuki AS.
Pada hari yang sama selepas pertemuan bersama Trump, Netanyahu melanjutkan pertemuannya dengan calon Presiden Amerika Syarikat daripada Parti Demokrat Hillary Clinton, pertemuan diadakan di W Hotel, Union Square.
"Clinton menegaskan adalah amat penting untuk Israel kekal utuh, kerana AS berkongsi banyak plan strategik bersama negara itu," kata pembantu kempen Hillary.
Sementara itu ketika menyentuh mengenai isu Israel dan Palestin, Hillary menegaskan semula komitmennya untuk kedua-dua pihak kembali ke meja rundingan.
"Konflik Israel-Palestin perlu dirunding secara langsung oleh pihak-pihak yang terbabit, agar dapat menjamin masa hadapan Israel sebagai sebuah negara Yahudi yang aman serta dalam masa yang sama memberikan rakyat Palestin ruang kedaulatan," jelas pembantu kempen Hillary.
Pertemuan Hillary dan Netanyahu berlangsung lebih singkat berbanding pertemuan PM Israel itu dengan Trump.
Kunjungan Netanyahu ke New York ini bertujuan untuk menghadiri persidangan PBB di ibu kota AS itu.
Pertemuan Hillary dan Trump bertemu Netanyahu menjelang debat perdana antara kedua-dua calon Presiden AS ini yang akan berlangsung pada 26 September di Hofstra University, Hemstead, New York.
No comments:
Post a Comment