DUA kanak-kanak Palestin berdiri berhampiran kawah besar akibat serangan udara Israel di Beit Lahia, utara Genting Gaza, kelmarin. AFP
BAITULMAQDIS 23 Ogos – Israel dan Turki semalam saling ‘bertegang urat’ berikutan pengeboman Tel Aviv ke atas Gaza, kurang 72 jam selepas Ankara meluluskan pembaharuan semula hubungan dengan Israel ekoran perselisihan selama enam tahun antara kedua-dua pihak.
Israel kelmarin melancarkan berpuluh-puluh serangan udara dan kereta kebal ke atas Gaza sebagai tindak balas kepada roket yang dilancarkan dari Palestin ke bandar Sderot, selatan Israel.
Serangan yang mengakibatkan empat kecederaan penduduk Palestin itu mengakibatkan Turki mengecam keras tindakan rejim Tel Aviv tersebut.
“Kami mengutuk sekeras-kerasnya serangan tidak seimbang itu, yang mengakibatkan kecederaan kepada penduduk awam Palestin sama sekali tidak dapat diterima.
“Malah, pemulihan hubungan semula antara negara kami dan Israel tidak bermakna kami akan berdiam diri ketika serangan seumpama itu dilancarkan ke atas penduduk Palestin,” tegas Kementerian Luar Turki.
Dalam pada itu, Kementerian Luar Israel kemudiannya membalas kenyataan Turki dengan menegaskan Tel Aviv akan sentiasa mempertahankan rakyatnya daripada serangan roket di wilayah mereka selaras dengan undang-undang antarabangsa.
“Turki perlu berfikir dua kali sebelum mengeluarkan kritikan terhadap tindakan ketenteraan pihak lain itu,” jelas kenyataan Israel.
Turki dan Israel pernah menjadi sekutu serantau paling rapat namun hubungan itu renggang pada 2010 apabila komando Israel membunuh 10 aktivis Turki dalam serbuan ke atas sebuah flotila yang cuba memecah sekatan Tel Aviv di Gaza.
Ankara kemudiannya bertindak mengusir duta Israel di negara itu pada 2011 dan menggantung sebarang hubungan diplomatik dengan Tel Aviv pada tahun yang sama. – AFP
No comments:
Post a Comment