Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Saeb Erekat, pihaknya tidak me­ngharapkan Israel akan berbuat apa-apa selain mewajarkan jenayah perang yang mereka lakukan dalam serangan di Gaza itu.
“Malah Israel sama sekali tidak akan bertanggungjawab selepas siasatan oleh dijalankan tentera rejim itu memutuskan tenteranya tidak melakukan sebarang kesalahan ketika melancarkan serangan ke atas Gaza,” kata Saeb kelmarin yang dipetik portal PressTV.
Tentera Israel kelmarin menutup fail berhubung kes serangan udara di sebuah sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semasa serangan 2014 yang menyebabkan 10 penduduk Palestin temasuk wanita dan kanak-kanak maut.
Dalam laporan setebal 21 muka surat itu, tentera rejim Zionis mendapati tiada kesalahan dilakukan oleh anggotanya dalam serangan di bandar Rafah itu.
Sekolah PBB menjadi pusat perlindungan kepada lebih 3,000 daripada kekejaman Tel Aviv.
Jelas Saeb, PA telah pun menyerahkan maklumat tentang jenayah perang Israel kepada ICC yang berpangkalan di The Hague.
Kenyataan Saeb itu dibuat pada hari yang sama tentera Israel menu­tup sebanyak tujuh fail tentang pembunuhan orang awam semasa perang Gaza yang bermula pada awal Julai 2014.
Perang selama 50 hari itu yang berakhir pada 26 Ogos 2014 meragut hampir 2,200 nyawa penduduk Palestin termasuk 577 orang kanak-kanak, manakala lebih 11,100 lagi cedera. – AGENSI