MUSTAFA BADREDDINE dilaporkan terbunuh dalam satu serangan udara Israel di Syria, baru-baru ini. - REUTERS
BEIRUT 13 Mei - Komander tertinggi Hezbollah, Mustafa Badreddine dilaporkan terbunuh dalam satu serangan udara oleh Israel di Syria, kehilangan besar kepada kumpulan militan disokong Iran itu sejak seorang lagi pemimpinnya, Imad Moughniyah dibunuh pada 2008.
Badreddine, 55, adalah individu yang bertanggungjawab dalam operasi ketenteraan Hezbollah di Syria bagi menyokong Presiden Bashar al-Assad menentang kumpulan pemberontak di negara itu.
Bagaimanapun, Hezbollah dalam satu kenyataan tidak mendedahkan punca kematian Mustafa.
Israel juga bagaikan ‘berdiam diri’ sama ada terlibat dalam pembunuhan tersebut.
Mustafa yang juga abang ipar kepada Imad pernah disabitkan kesalahan oleh Tribunal Khas untuk Lebanon pada 2005 kerana terlibat dalam pembunuhan bekas Perdana Menteri Lebanon, Rafik al-Hariri.
Pemimpin Hezbollah tersebut juga pernah dikenakan hukuman mati di Kuwait kerana penglibatan dalam serangan bom pada 1983, namun dia meloloskan diri dari penjara selepas Iraq yang ketika itu dipimpin Saddam Hussein menceroboh Kuwait pada 1990.
Mustafa menjadi perancang utama operasi ketenteraan terhadap Israel dari Lebanon dan luar negara selama bertahun-tahun dan telah beberapa kali terlepas daripada diberkas pihak berkuasa negara-negara Arab dan Barat.
Kira-kira 1,200 anggota kumpulan Hezbollah maut dalam perang saudara di Syria. – REUTERS
No comments:
Post a Comment