Perdana Menteri Perancis, Manuel Valls (kanan) dan Perdana Menteri Palestin, Rami Hamdallah bertemu di Ramallah, Tebing Barat baru-baru ini bagi membincangkan pelan damai Asia Barat anjuran Perancis. AFP
KAHERAH 29 Mei – Liga Arab mengutuk Israel sebagai satu-satunya rejim berfahaman autokrasi dan pengamal diskriminasi perkauman yang masih wujud di dunia ini susulan tindakan rejim Zionis menangguhkan rundingan damai dengan Palestin yang diusahakan oleh Perancis.
Ketua pertubuhan itu, Nabil al-Araby dalam kenyataannya selepas mengadakan pertemuan dengan menteri luar negara Arab berkata, pihaknya menyokong penuh usaha yang dilaksanakan Paris bagi mencari jalan perdamaian di Asia Barat apabila resolusi berhubung perkara tersebut diluluskan.
Namun tindakan Israel mahu mengadakan rundingan secara langsung dengan Palestin ditolak oleh Nabil, menyebabkan rejim Zionis menangguhkan perbincangan tersebut.
“Israel menjadi kubu terakhir penyebaran fahaman autokrasi, penjajahan dan diskriminasi perkauman di dunia ini,” katanya.
Semalam, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas turut menyalahkan Israel kerana menangguhkan rundingan damai yang dijadualkan bermula pada pertengahan tahun ini antara beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS).
“Palestin berusaha bersungguh-sungguh untuk menjayakan perjanjian damai ini, tetapi Israel tidak menghormati komitmen yang ditunjukkan oleh kami,” katanya.
Usaha Perancis melibatkan perbincangan antara menteri-menteri luar beberapa buah negara pada 3 Jun ini tanpa dihadiri oleh wakil Palestin dan Israel.
Kemudian persidangan antarabangsa akan diadakan dengan melibatkan penyertaan Palestin dan Israel dengan harapan konflik di Asia Barat itu akan ditamatkan menerusi perjanjian damai kedua-dua pihak.
Kali terakhir rundingan antara Palestin dan Israel diadakan pada 2014 yang diusahakan oleh AS, tetapi usaha terbabit menemukan kegagalan kerana kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat. – AFP
No comments:
Post a Comment