Kementerian Dalam Negeri Gaza yang ditadbir Hamas berkata, serangan berkenaan disasarkan sekitar lapangan terbang antarabangsa terbiar di selatan bandar Rafah serta kawasan pertanian berhampiran, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Sehari sebelum itu, tentera Israel melancarkan serangan ke atas lima pangkalan Hamas di selatan Gaza.
Tentera Israel dalam kenya­taannya berkata, serangan itu sebagai serangan balas terhadap serangan motar ke atas wilayah Israel dari wilayah Palestin itu.
Kereta-kereta kebal Israel turut melancarkan serangan ke arah Gaza sebanyak dua kali, semalam, sementara tentera Israel membina zon ketenteraan di sempadan dekat bandar Nahal Oz.
Pergerakan Hamas dan kumpulan Jihad Islam, sebuah lagi pergerakan Palestin mengeluarkan amaran kepada tentera Israel supaya tidak menimbulkan ke­tegangan di sepanjang sempadan Gaza.
Sayap bersenjata pergerakan Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam berkata, mereka bersedia melancarkan serangan balas terhadap tentera Israel.
“Kami tidak akan membenarkan sebarang pencerobohan (Israel) terus berlaku dan tentera Israel perlu keluar segera dari Gaza tanpa sebarang alasan,” kata kumpulan itu.
Sempadan Gaza berada dalam keadaan aman sejak gencatan senjata dikuatkuasakan pada akhir 2014, walaupun Israel mendakwa Hamas sedang membina terowong-terowong baharu dari Gaza bagi menyusup ke wilayah Israel.
Israel turut mendakwa te­rowong-terowong tersebut menjadi punca utama Israel melancarkan serangan selama 50 hari ke atas Gaza pada 2014 yang mengorbankan 2,251 penduduk Palestin, kebanyakan mereka orang awam, dan 73 orang penduduk Israel termasuk 67 askar Israel.
“Matlamat kami (Israel) ialah untuk mengesan dan memusnahkan rangkaian terowong Ha­mas kerana ia mengancam ke­selamatan dan nyawa penduduk Israel,” kata jurucakap tentera Israel, Peter Lerner dalam satu kenyataan susulan daripada serangan itu.
Penyelaras khas Pertu­buhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pro­ses damai Asia Barat, Nickolay Mladenov berkata, beliau “memandang berat” terhadap peningkatan serangan Israel ke atas Gaza.
“Adalah penting keamanan dikekalkan bagi memastikan keselamatan penduduk Israel dan Palestin,” katanya dalam satu kenyataan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu membuat lawatan mengejut ke sempadan Gaza, kelmarin dan menyatakan kawasan ini sudah lama berada dalam keadaan aman.
“Sudah hampir dua tahun kea­daan aman di sini sejak Operasi Meningkatkan Perlindungan (me­rujuk perang 2014),” katanya.
Pengasas kumpulan peng­analisa Levantine, Daniel Nisman berkata, lawatan Netanyahu boleh mencetuskan reaksi.
“Mungkin bagi Hamas satu kesilapan akan membawa perang,” katanya. – AFP