Tuesday, 9 February 2016

Israel tambah 30,000 permit kerja rakyat Palestin, langkah kurangkan serangan

DUNIA ISNIN, 8 FEBRUARI 2016 @ 11:53 PM




PENDUDUK Palestin beratur di pos kawalan Israel di Tebing Barat.


 BAITULMAQDIS: Israel bercadang untuk menambah jumlah permit masuk kepada pekerja Palestin sebagai usaha mengurangkan beban ekonomi yang menyumbang kepada peningkatan gelombang serangan rakyat di wilayah terkepung itu. Secara terbuka, kerajaan Israel menuduh pemimpin Palestin, termasuk Presiden Mahmoud Abbas dan pemimpin puak Islam bertanggungjawab mencetuskan keganasan. Namun, pihak berkuasa keselamatan Israel juga mengaitkan situasi itu dengan keadaan terdesak dalam kalangan belia Palestin yang melihat masa depan kelam dari sudut ekonomi di jajahan terkepung di Tebing Barat. Seorang pegawai Kementerian Pertahanan mengesahkan laporan dalam akhbar Haaretz hari ini, yang menyebut Israel akan menambah 30,000 jumlah permit kerja untuk rakyat Palestin. "Beberapa perancangan sedang diteliti," kata seorang pegawai Israel lain. Bank Israel melaporkan, ketika ini, 55,000 rakyat Palestin mempunyai permit untuk bekerja di Israel, kebanyakannya dalam sektor binaan dan pertanian. Mereka perlu melepasi pemeriksaan keselamatan Israel sebelum dokumen dikeluarkan. Tambahan 30,000 buruh Palestin tanpa permit turut memasuki Israel setiap hari. Perancangan baharu itu akan meningkatkan jumlah pekerja Israel yang disekat pihak berkuasa keselamatan negara Zionis itu. - REUTERS

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/122542

No comments:

Post a Comment