Thursday 11 February 2016

Fatah, Hamas setuju bentuk kerajaan perpaduan


11 Februari 2016 12:10 AM


RAMALLAH 10 Feb – Kerajaan Palestin bersedia untuk dibubarkan bagi memberi laluan kepada pembentukan kerajaan perpaduan, selepas pergerakan Fatah dan Hamas bersetuju mewujudkan perdamaian.
Perdana Menteri, Rami Hamdallah sudah ‘bersiap sedia untuk meletakkan jawatan bagi menyokong pembentukan sebuah kerajaan perpaduan dan untuk melaksanakan semua usaha bagi mencapai perdamaian sebenar”, kata satu kenyataan.
Anggota Kabinet kerajaan perpaduan dianggotai teknokrat bebas daripada kerajaan pimpinan Fatah di Tebing Barat dan Hamas yang memerintah Gaza yang dipersetujui pada 2014 ketika kedua-dua pihak mengumumkan perdamaian.
Namun, kerajaan perpaduan itu tidak bertahan lama dan tidak dibenarkan beroperasi di Gaza, dengan hubungan Presiden Mahmoud Abbas daripada Fatah dan pergerakan Hamas terus tegang.
Pengisytiharan yang dibuat oleh kerajaan Palestin hari ini bersedia untuk dibubarkan, dibuat dua hari selepas rundingan antara Fatah dan Hamas di Doha ibu negara Qatar, yang merupakan kali pertama langkah seum­pama itu dibuat.
Hamas juga berkata, ia bersedia “membentuk kerajaan baharu perpaduan tanpa sebarang syarat”, dan menggesa “kerajaan baharu itu menyelesaikan semua masalah berbangkit”.
Hamas menuduh Fatah menghalang kerajaan membayar gaji 50,000 kakita­ngan yang bertugas sejak Hamas meme­rintah Gaza pada 2007.
Fatah pula menuduh Hamas mengekalkan kerajaan penentang dan enggan melepaskan kawalan ke atas sempadan Gaza.
Kali terakhir pilihan raya Pa­lestin diadakan ialah 10 tahun lalu. 
– AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/fatah-hamas-setuju-bentuk-kerajaan-perpaduan-1.188865#sthash.rj55Yw1P.dpuf

No comments:

Post a Comment