Polis Israel memeriksa lokasi kejadian selepas berlaku kejadian rempuhan oleh seorang remaja Palestin di sebuah perhentian bas yang menyebabkan sembilan orang cedera di Baitulmaqdis, kelmarin. AFP
RAMALLAH 15 Dis. – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyifatkan keganasan terbaharu dalam tempoh tiga bulan terakhir di wilayah Palestin sebagai ‘kebangkitan popular paling wajar’.
Reaksi Abbas itu dibuat ketika satu tinjauan terbaharu menunjukkan sokongan yang meluas dan berterusan penduduk Palestin ke atas Israel. Semalam, seorang penduduk Palestin dari timur Baitulmaqdis, Abed Almohsin Hassoneh, 21, merempuh kereta yang dipandunya ke arah sebuah perhentian bas yang sesak orang ramai, menyebabkan sembilan orang cedera sebelum dia ditembak mati.
Pemimpin Israel menuduh Abbas dan pemimpin Palestin yang lain menghasut keganasan itu.
Abbas sebelum ini enggan menyatakan sokongan atau mengutuk serangan-serangan penduduk Palestin, dengan sering merujuk gelombang keganasan itu sebagai ‘boleh difahami’ tetapi bukan atas kepentingan penduduk Palestin.
“Kami tidak boleh menghalang belia-belia kami supaya tidak memberontak.
“Mereka sebenarnya mengharapkan penyelesaian pembentukan dua negara,” katanya di Ramallah.
Tinjauan yang dikeluarkan kelmarin mendapati dua pertiga penduduk Palestin menyokong gelombang kebangkitan terbaharu dengan menikam anggota pasukan keselamatan Israel.
Seorang penyelidik dari Pusat Palestin bagi Polisi dan Kajian Penyelidikan, Khalil Shikaki yang mengetuai tinjauan ke atas 1,270 orang mendapati hampir setiap hari berlaku pertumpahan darah.
Sejak pertengahan September lalu, sebanyak 19 penduduk Israel terbunuh dalam beberapa serangan termasuk tikaman, tembakan dan rempuhan kenderaan, manakala seramai 113 penduduk Palestin mati akibat ditembak tentera Israel dalam tempoh yang sama. – AGENSI
No comments:
Post a Comment