Sunday 6 December 2015

3 kali masuk penjara

Shah Alam: Ahli Parlimen Palestin Dr Nasser Abdaljawwad, 50, akan terus berjuang untuk negaranya walaupun pernah dipenjarakan tiga kali oleh rejim Zionis membabitkan tempoh hukuman keseluruhan 12 tahun.
Nasser yang menetap di Malaysia sejak 2013 berkata, dia dipenjarakan kerana menyertai tentera Al-Qassam selain menjadi ahli Parlimen negaranya.
“Saya dipenjarakan buat kali pertama pada 2003 hingga 2005. Ketika itu, saya diikat dan diseksa selama beberapa bulan kerana tentera rejim mahu mendapatkan pelbagai maklumat daripada saya.
“Selepas melalui proses itu, saya dibenarkan bersama dengan tahanan lain. Kami turut dibenarkan membaca buku serta menonton televisyen,” katanya ketika ditemui pada Karnival Al-Aqsa Dihatiku di Masjid Al-Ikhlas, Seksyen 13 di sini, semalam.
Karnival berkenaan bertujuan mengumpul dana selain mahu berkongsi kedukaan rakyat Palestin yang sehingga kini masih dikenakan pelbagai sekatan serta dizalimi rejim Zionis.
Nasser berkata, dia ditahan buat kali kedua selepas memenangi pilihan raya pada 2006 kerana rejim Zionis tidak mahu pengaruh pihak pembangkang kuat di negara itu.
Beliau bagaimanapun tidak menceritakan dengan jelas bagaimana beliau dilepas dan ditahan semula buat kali ketiga.
Bagaimanapun, Nasser mengakui, ketika dipenjarakan, tahanan dibenarkan beribadat serta beriadah.
“Sepanjang dalam tahanan, saya bersyukur kerana dapat menghafaz al-Quran serta mempelajari bahasa Israel. Saya serta tahanan lain juga kerap mengadakan majlis ilmu.
“Tentera Zionis bagaimanapun tidak mengganggu apa yang kami lakukan. Selepas dibebaskan pada 2010, saya keluar dari Palestin dan memberi alasan kepada rejim Zionis mahu menghadiri majlis perkahwinan saudara di Jordan.
“Saya kemudiannya mengambil peluang berkenaan untuk ke Malaysia,” katanya.
Nasser kini mengikuti pengajian ijazah doktor falsafah (PhD) keduanya di Universiti Malaya (UM) dalam bidang Sains Politik.
“Saya masih tidak boleh pulang ke Palestin kerana berkemungkinan besar ditahan semula rejim Zionis.
“Semangat perjuangan yang ditunjukkan rakyat Malaysia dengan menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin diharap dapat mengurangkan beban sekali gus memberi sinar baru dalam hidup kami,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2015 @ 5:06 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/98197#sthash.iLwer35r.dpuf

No comments:

Post a Comment