Seorang anggota polis Israel berkawal di atas bumbung sebuah bangunan bagi mengawasi penduduk Palestin dari memasuki Masjid al-Aqsa, selepas polis Israel mengeluarkan larangan ke atas penduduk Palestin memasuki Kota Lama Baitulmaqdis selama dua hari , mulai semalam. AFP
BAITULMAQDIS 4 Okt. - Keganasan di Tebing Barat semakin memuncak ekoran tindakan Israel melarang penduduk Palestin memasuki kota lama di Baitulmaqdis, selepas insiden dua serangan ke atas penduduk Yahudi.
Polis Israel hari ini mengumumkan hanya penduduk Israel, pelancong, penduduk setempat, pemilik perniagaan dan kanak-kanak sekolah dibenarkan memasuki kawasan itu.
Namun, penduduk Palestin di timur Baitulmaqdis yang tidak tinggal di kota lama itu dilarang sama sekali memasuki kawasan berkenaan selama dua hari.
Hanya penduduk lelaki Islam berumur 50 tahun ke atas dan wanita dibenarkan memasuki Masjid al-Aqsa. Mereka hanya dibenarkan memasuki masjid tersebut menerusi sebuah pintu yang dikhaskan untuk mereka.
Tindakan kejam rejim Zionis itu diambil selepas seorang pejuang Palestin membunuh dua lelaki Israel dan mencederakan dua yang lain dalam dua serangan berasingan di kota lama itu, semalam.
Penyerang terbabit kemudian ditembak mati oleh pasukan keselamatan Israel.
Serangan itu berlaku selepas pasukan keselamatan rejim Zionis menceroboh Masjid al-Aqsa dan bertempur dengan penduduk Palestin di sekitar kota lama dan pembunuhan sepasang suami isteri Yahudi di Tebing Barat.
Sementara itu, kerajaan Palestin dalam kenyataannya mengutuk tindakan Israel tersebut yang disifatkan sebagai memperluaskan jajahan terhadap wilayah Palestin.
“Kami mengutuk dasar penjajahan Israel yang menindas rakyat Palestin di Baitulmaqdis dan Tebing Barat,” jelas kenyataan itu. – AFP
No comments:
Post a Comment