Thursday 15 October 2015

Baitulmuqaddis catat hari paling berdarah


AFP - PASUKAN keselamatan Israel memeriksa lokasi kejadian seorang lelaki Palestin merempuh kereta yang dipandunya ke sebuah perhentian bas di Baitulmuqaddis kelmarin.


BAITULMUQADDIS – Bandar ini mengalami hari paling berdarah kelmarin selepas gelombang keganasan baharu menyaksikan sekurang-kurangnya tiga penduduk Israel terbunuh selepas beberapa penyerang Palestin menembak ke arah sebuah bas dan merempuh sekumpulan pejalan kaki dengan sebuah kereta.
Peningkatan keganasan itu yang menyaksikan sejumlah serangan tikaman dan protes telah meninmbulkan kebimbangan berlakunya gelombang kebangkitan ketiga penduduk Palestin atau intifada.
Dalam perkembangan sama, seorang penduduk Palestin terbunuh dalam pertempuran di bandar Baitulaham, Tebing Barat.
Gelombang kebangkitan Palestin pada 1987-1993 dan 2000-2005 menyaksikan beratus-ratus orang terbunuh hampir setiap hari dalam keganasan Israel-Palestin.
Dalam serangan kelmarin di timur Baitulmuqaddis, seorang warga Palestin bersenjatakan sepucuk pistol dan rakannya yang menggunakan pisau menyerang kira-kira 15 orang, kata polis.
Menurut pihak berkuasa, dua penduduk Yahudi termasuk seorang mangsa berusia 60 tahun terbunuh, manakala kira-kira 10 yang lain cedera.
“Seorang penyerang itu ditembak mati sementara seorang lagi cedera,” kata polis.
Pada hari sama, seorang warga Palestin merempuh keretanya ke arah orang ramai di sebuah perhentian bas di Baitulmuqaddis sebelum melompat keluar sambil menghunuskan sebilah pisau.
“Sekurang-kurangnya seorang mangsa terbunuh dan lapan lagi cedera,” kata perkhidmatan kecemasan Israel. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1015&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3oe6OCJpg 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment